Malaysia Hot

Persefahaman politik BN-PN: Pendirian UMNO Bahagian mengenai agihan kerusi wajar dihormati - Akmal Saleh


PASIR SALAK: Pendirian UMNO Bahagian dalam soal agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya akan datang susulan persefahaman politik yang dijalin dengan Perikatan Nasional (PN) wajar dihormati.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pemimpin di peringkat bahagian mempunyai hak untuk bersuara mengenai agihan kerusi, sebelum kata putus mengenainya dibuat di peringkat perhubungan UMNO negeri dan pusat.

Merujuk kejayaan BN menawan semula Negeri Sembilan semalam, Muhamad Akmal berkata rancangan asal UMNO negeri adalah BN bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun keputusan akhir menyaksikan BN hanya bertanding di 25 kerusi.

"Keputusan peringkat Bahagian kita terbuka. Macam di Negeri Sembilan pun, keputusan UMNO negeri untuk bertanding keseluruhan kerusi tetapi akhirnya yang kita tandingi hanya 25 kerusi.

"Apa sekalipun sebagai ahli parti, kita akan akur dengan keputusan dibuat. Bila kita akur di Negeri Sembilan dan bila kita timbang baik buruk, maka kita ambil keputusan bertanding 25 dan alhamdulillah hari ini kita membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak di sini hari ini.

Beliau mengulas momentum kerjasama BN-PN khususnya di negeri seperti Perak, yang menyaksikan bilangan kerusi 26 wakil rakyat PN jauh menandingi sembilan kerusi disandang wakil rakyat BN.

Ditanya sejauh mana keyakinan kerjasama BN-PN khususnya di Perak akan berjaya sebagaimana berlaku di Negeri Sembilan, Muhamad Akmal sekadar berkata tiada apa yang mustahil dalam politik.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhamad Akmal berkata, kemenangan besar BN dan PN di Negeri Sembilan isyarat jelas rakyat menolak anggapan parti lawan iaitu Pakatan Harapan (PH) yang mengaitkan UMNO membawa sentimen perkauman serta tunggang agama.

"Maka cakap-cakap daripada PH yang menyatakan bahawa UMNO yang membawa sentimen rasis dan tunggang agama itu tak benar... sebab hari ini akhirnya orang Negeri Sembilan memilih untuk menolak parti yang bawa sentimen begitu iaitu PH sendiri.

"Kita kena hormat keputusan rakyat sepertimana kita hormat keputusan rakyat ketika UMNO pernah kalah, maka hari ini bila UMNO menang, kita kena hormat juga rakyat. 

"Presiden sudah beritahu ke Melaka (selepas ini) dan Insya-Allah ke Putrajaya suatu hari nanti," katanya.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال