![]() |
| Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki |
KUALA LUMPUR – Dua negeri telah menghantar satu mesej politik yang sukar disangkal: UMNO bukan sahaja kembali berdiri, malah sedang membina gelombang baharu yang merentasi kaum, generasi dan kelompok masyarakat.
Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan bukan sekadar pertambahan kerusi. Di sebalik keputusan itu muncul perubahan lebih besar. Keyakinan rakyat kini kembali kepada parti yang diasak, dihukum dan diramal kehilangan masa depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata selepas lapan dekad berbakti kepada agama, bangsa dan negara, obor perjuangan yang dinyalakan di bumi Johor kini kembali menerangi seluruh negara.
“Angin perubahan telah mula bertiup kencang. Gelombang Biru kembali membadai bumi Malaysia, membuktikan bahawa sang gergasi telah bangun daripada lenanya,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Perhimpunan kali ini turut memperlihatkan terbukanya kembali ruang kebersamaan dengan rakan muafakat lama apabila kepimpinan tertinggi PAS hadir bersama parti komponen BN, perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.
Kekuatan UMNO di akar umbi pula kekal kukuh apabila 21,484 cawangan dan 191 bahagian berjaya melaksanakan mesyuarat dalam tempoh ditetapkan. Angka itu membuktikan bahawa degup perjuangan UMNO masih hidup dan terus berdenyut di setiap pelusuk tanah air.
Kebangkitan yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan juga tidak terbatas kepada pengundi tradisi UMNO.
Di Johor, sokongan pengundi Cina kepada BN meningkat lebih sekali ganda daripada 9.5 peratus pada 2022 kepada 20 peratus dalam PRN 2026. Di Negeri Sembilan, sokongan kelompok sama meningkat daripada 8.7 peratus kepada 14 peratus.
Perubahan tersebut menjadi petunjuk awal bahawa tembok penolakan terhadap BN dalam kalangan masyarakat Cina mula retak. Gerak kerja MCA di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bukan sahaja membantu menstabilkan sokongan, malah membuka semula ruang keyakinan kepada politik kesederhanaan yang dibawa BN.
Lonjakan paling dramatik dicatatkan dalam kalangan pengundi India. Di Johor, sokongan mereka kepada BN meningkat daripada 18.9 peratus pada 2022 kepada 54.8 peratus tahun ini.
Di Negeri Sembilan, angka itu melonjak daripada 17.6 peratus kepada 49.6 peratus. BN muncul sebagai gabungan yang menerima sokongan pengundi India tertinggi dalam kedua-dua pilihan raya berkenaan.
Pencapaian tersebut mencerminkan keberkesanan gerak kerja MIC di bawah pimpinan Tan Sri SA Vigneswaran bersama PPP dan Friends of BN yang terus mendekati masyarakat serta membina semula kepercayaan terhadap gabungan itu.
Perubahan paling besar bagaimanapun berlaku dalam kalangan pengundi Melayu.
Sokongan Melayu kepada BN di Negeri Sembilan melonjak daripada 45.8 peratus pada 2022 kepada 79 peratus pada 2026. Di Johor, angka itu meningkat daripada 44.9 peratus kepada 82.4 peratus.
Peningkatan hampir menyeluruh itu membawa mesej bahawa orang Melayu sedang kembali melihat UMNO sebagai wadah paling diyakini untuk mempertahankan kepentingan mereka, menjaga kestabilan negara dan mengemudi politik dalam kerangka masyarakat majmuk.
Kemenangan semua saluran tentera turut mengukuhkan perubahan tersebut. Di Johor, BN menawan kesemua 14 saluran kem tentera dengan sokongan sebanyak 82.1 peratus.
Di Negeri Sembilan, kerjasama dengan PAS menyaksikan undi tentera kepada BN mencecah 92.47 peratus, sekali gus membolehkan gabungan itu memenangi kesemua lapan saluran terlibat. Asyraf Wajdi menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil kepimpinan serta ikhtiar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Gelombang sama turut sampai ke tanah rancangan apabila BN memenangi semua pusat daerah mengundi FELDA di Johor dan Negeri Sembilan. Kerja keras bekas Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, diiktiraf sebagai antara faktor yang membantu mengembalikan keyakinan warga peneroka.
Dakwaan bahawa UMNO semakin kehilangan generasi muda juga dipatahkan.
BN memenangi semua saluran anak muda Melayu di kedua-dua negeri. Sebanyak 78 peratus pengundi muda di Johor memilih BN manakala sokongan golongan sama di Negeri Sembilan mencecah 79 peratus.
Angka itu membuktikan bahawa generasi baharu tidak menolak UMNO semata-mata kerana usia parti. Mereka menilai keupayaan, kestabilan dan keberanian sesebuah parti memperjuangkan masa depan mereka.
Gerak kerja Pemuda UMNO di bawah pimpinan Dr Muhamad Akmal Saleh serta Puteri UMNO yang diketuai Nurul Amal Mohd Fauzi telah membawa tenaga baharu, sekali gus membuka pintu Rumah Bangsa kepada generasi yang mahu politik lebih berani, jelas dan berpijak pada realiti.
Di belakang setiap kemenangan itu berdiri jentera Wanita UMNO tulang belakang yang terus bekerja ketika perhatian tidak tertumpu kepada mereka.
Mereka merayu undi, menziarahi rakyat, menggerakkan bilik operasi dan mempertahankan parti di akar umbi meskipun berdepan kekangan. Sumbangan Wanita UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menjadi antara asas yang memungkinkan Gelombang Biru kembali terbentuk.
Gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menerima sambutan luar biasa. Dalam tempoh lapan bulan, seramai 45,808 orang direkodkan menyertai atau kembali kepada UMNO.
Jumlah keseluruhan keahlian parti setakat 31 Ogos 2026 kini mencecah 3,251,456 orang, terdiri daripada 1,195,265 ahli biasa, Wanita seramai 1,412,052, Pemuda 418,063 dan Puteri 226,076 orang.
Johor mencatatkan pertambahan ahli baharu tertinggi, diikuti Pahang, Selangor, Perak dan Sabah. Perkembangan itu menunjukkan UMNO bukan sekadar memenangi pilihan raya tetapi sedang membina semula kekuatan organisasinya untuk menghadapi gelanggang politik yang lebih besar.
Kemenangan bagaimanapun bukan lesen untuk mendabik dada. Asyraf Wajdi mengingatkan bahawa gelombang yang mengangkat UMNO juga mampu menghempasnya kembali sekiranya pemimpin dan ahli mula sombong, leka serta melupakan amanah rakyat.
Menurut beliau, kejayaan UMNO dan penyatuan ummah kini dicemburui sehingga parti itu berdepan pelbagai tekanan, intimidasi, fitnah serta tuduhan yang didakwa bertujuan mengaibkan pemimpin dan mencalar reputasinya.
Pihak yang mahu melihat UMNO lemah mungkin menyangka tekanan akan memecahkan parti itu. Mereka mungkin percaya bahawa tangkapan, tuduhan dan operasi memalukan mampu menghalang gelombang yang sedang terbentuk.
Namun, sejarah UMNO mengajar satu perkara: parti itu tidak dibina untuk bertahan ketika keadaan mudah sahaja.
UMNO pernah rebah, tetapi tidak pernah menyerah. Pernah kehilangan kuasa, tetapi tidak kehilangan akar. Pernah dihukum rakyat, namun memilih untuk kembali berkhidmat dan merebut semula kepercayaan mereka.
Johor dan Negeri Sembilan kini menjadi permulaan kepada sebuah gelombang yang lebih besar.
Sang gergasi bukan lagi sedang terjaga daripada lena. Sang gergasi sudah berdiri—dan semakin dihimpit, semakin tinggi ia melenting.

