![]() |
| Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi |
Ucapan Dasar Presiden UMNO 2026 bukan ucapan sebuah parti yang mahu terus menumpang dalam percaturan kuasa. Ia merupakan pengisytiharan bahawa UMNO telah selesai merawat luka, selesai menyesuaikan diri sebagai rakan kerajaan dan kini bersedia kembali menentukan arah negara.
Selepas lapan tahun melalui kekalahan, perpecahan, pertukaran kerajaan dan perubahan jajaran politik, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan satu matlamat yang tidak lagi berselindung: UMNO mahu kembali menerajui Putrajaya.
Gelombang Biru bukan digerakkan untuk menjadikan UMNO sekadar pelengkap kerajaan. PRU-16 mahu dijadikan detik parti itu mendapatkan semula mandat rakyat untuk memimpin.
Inilah mesej terbesar yang bergema dari Dewan Merdeka.
Ahmad Zahid tidak membina naratif kebangkitan dengan menafikan kesilapan lalu. Beliau mengakui kekalahan pada 2018 sebenarnya tidak bermula pada malam keputusan pilihan raya diumumkan. Isyaratnya muncul sejak Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga pada 2008 sebelum sokongan terus terhakis pada 2013.
Fitnah, serangan politik dan kegagalan menguruskan persepsi memang memainkan peranan. Parti yang mahu kembali bangkit, bagaimanapun, tidak boleh selamanya menyalahkan orang lain. Kejatuhan sering bermula apabila sesebuah parti terlalu yakin bahawa ia tidak mungkin kalah.
Muhasabah itu membezakan UMNO yang masih terperangkap dalam nostalgia dengan UMNO yang bersedia membaca zaman.
Politik hari ini sudah berubah. Kesetiaan pengundi tidak lagi diwarisi, generasi baharu tidak terikat kepada nostalgia dan satu formula tidak boleh digunakan di semua medan. Demografi, calon, isu dan sentimen rakyat berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.
Sabah memberikan pengajaran. Johor mengembalikan keyakinan. Negeri Sembilan membuktikan persefahaman boleh menghasilkan kekuatan. Melaka pula bakal menjadi medan seterusnya untuk menguji sama ada Gelombang Biru benar-benar mampu diterjemahkan menjadi mandat rakyat.
Kebangkitan itu tidak boleh bergantung kepada emosi semata-mata. UMNO perlu mengembalikan wataknya sebagai parti pemerintahan—parti yang bukan sahaja tahu memenangi pilihan raya, malah mempunyai keberanian merancang masa depan negara melangkaui satu penggal.
Negara terlalu lama terperangkap dalam “permanent political warfare”, dengan rakyat dipaksa mendengar siapa mahu dijatuhkan, siapa akan disiasat dan siapa pula mahu dipersalahkan.
Rakyat tidak boleh membayar bil dengan drama politik. Mereka mahu tahu siapa mampu memberikan penyelesaian.
Jawapan UMNO ialah Agenda Malaysia Biru, sebuah kerangka pembangunan menuju 100 tahun kemerdekaan yang mahu membentuk Malaysia sebagai negara berdaulat dan bersatu, inovatif dan berpendapatan tinggi, makmur dan saksama serta unggul dan disegani dunia.
Malaysia mahu dibawa daripada sebuah negara pengeluar kepada Negara Pencipta. Dunia bukan sahaja perlu membeli produk “Made in Malaysia”, malah menggunakan teknologi dan jenama yang dicipta, direka serta dimiliki anak Malaysia.
Pembangunan modal insan pula mahu dipacu melalui pembentukan Negara Berkemahiran. TVET tidak lagi boleh dianggap pilihan kelas kedua. Politeknik, GiatMARA, Institut Kemahiran MARA dan institusi profesional Huffaz perlu menjadi nadi sebuah “Skills Nation”, dengan sasaran 80 peratus tenaga kerja berada dalam kategori berkemahiran tinggi dan menerima gaji premium.
Agenda ini turut mahu membawa rakyat daripada masyarakat yang hanya berpendapatan kepada masyarakat yang memiliki. Gaji bulanan sahaja tidak menjamin kekuatan ekonomi. Rumah, perusahaan, saham, harta intelek, simpanan dan aset produktif perlu menjadi milik lebih ramai rakyat. Sasarannya ialah 60 peratus rakyat dewasa memiliki sekurang-kurangnya satu aset yang menjana nilai.
Ukuran kemajuan juga tidak boleh berhenti pada angka KDNK. Rakyat tidak hidup di dalam jadual ekonomi. Mereka hidup dengan baki gaji selepas membayar rumah, pendidikan, rawatan, makanan dan keperluan keluarga.
Agenda Malaysia Biru mensasarkan setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus lebihan pendapatan selepas memenuhi keperluan asas. Lebihan itu memberikan ruang untuk menyimpan, melabur dan menikmati kehidupan yang lebih bermaruah.
Pandemik, peperangan, banjir dan serangan siber pula membuktikan keselamatan negara tidak lagi terhad kepada sempadan fizikal. Malaysia mesti memiliki sekurang-kurangnya 70 peratus kemandirian dalam sektor strategik termasuk makanan, perubatan, telekomunikasi, tenaga, air, pertahanan dan industri kritikal.
Sebuah Negara Peduli turut dicadangkan bagi mengiktiraf penjagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya dan pesakit jangka panjang sebagai sebahagian daripada seni bina ekonomi, bukan isu kebajikan yang dibiarkan di pinggiran dasar.
Agenda paling penting ialah pembentukan Negara Beramanah. Mahkamah mesti dipercayai dan tidak diperalatkan. Penjawat awam perlu dilindungi daripada ugutan, manakala institusi negara tidak boleh dijadikan senjata politik oleh sesiapa yang berkuasa.
Malaysia disasarkan berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dari segi integriti, tadbir urus dan kedaulatan undang-undang. Prinsipnya jelas—“rule of law”, bukannya “rule by law”.
Dasar luar pula mesti diukur berdasarkan kepentingan negara yang berjaya dipertahankan, bukan jumlah pemimpin dunia yang ditemui atau persidangan antarabangsa yang dihadiri. Malaysia mahu muncul sebagai kuasa pertengahan paling berpengaruh tanpa membenarkan hubungan asing mencorakkan politik dalaman negara.
Kerangka tersebut turut merangkumi penstrukturan percukaian termasuk GST pada kadar munasabah, penyelarasan jaminan sosial, pemudahan urusan perniagaan, pembangunan ekonomi wilayah, pembelaan kebajikan guru, pembaharuan hubungan dengan penjawat awam, pengarusperdanaan muamalah Islam serta pelaksanaan PuTERA35 sebagai agenda seluruh kerajaan.
Agenda sebesar ini memerlukan kekuatan politik. Di sinilah muncul mesej kedua paling signifikan dalam ucapan Presiden UMNO—pembinaan semula persefahaman melalui Kolaborasi Agung dan Tafahum Siyasi.
Tafahum Siyasi bukan penggabungan parti dan tidak memerlukan sesiapa mencairkan identiti. UMNO kekal UMNO, manakala Barisan Nasional kekal Barisan Nasional. Persefahaman itu dibina dengan mengutamakan persamaan, menghormati perbezaan serta mengelakkan pertembungan yang hanya merugikan.
Syaratnya tidak boleh dirunding: jangan berkhianat, jangan membina persefahaman pada siang hari tetapi merancang menjatuhkan rakan pada malam hari, dan jangan menandatangani perjanjian untuk kemudiannya dimungkiri.
Seruan tersebut membuka ruang kepada penyatuan tanpa menyerahkan maruah parti. Ia juga menjawab keresahan orang Melayu yang semakin bosan melihat kekuatan politik mereka berpecah, bertembung dan akhirnya menjadi penentu kemenangan pihak lain.
Pintu Rumah Bangsa turut dibuka kepada mereka yang pernah kecewa, menjauh atau meninggalkan UMNO. Jambatan yang pernah dibakar boleh disambungkan, tembok perbezaan boleh diruntuhkan dan pondok baharu boleh ditinggalkan.
Kepulangan itu dialu-alukan, namun bukan untuk menghidupkan semula api persengketaan.
Selepas 80 tahun, UMNO berhadapan pilihan paling besar dalam sejarahnya: terus menjadi sebahagian daripada percaturan orang lain atau kembali menawarkan kepimpinan yang mempunyai arah, dasar dan keberanian.
Ahmad Zahid sudah memberikan jawapannya.
Melaka akan menjadi medan hadapan. PRU-16 pula ialah ibu segala pertempuran. Agenda Malaysia Biru menjadi tawaran masa depan, manakala Tafahum Siyasi menyediakan jalan untuk menyatukan kekuatan.
UMNO tidak lagi mahu sekadar berada dalam kerajaan.
UMNO sedang bersiap untuk kembali menjadi kerajaan.

