Penangguhan sekali lagi permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak bukan sekadar berita yang mengecewakan UMNO. Ia membuka satu persoalan lebih besar mengenai akauntabiliti politik, ketelusan proses pentadbiran dan keberanian kerajaan untuk menjelaskan keputusan yang menyentuh hati jutaan rakyat.
Perkara pertama yang mesti diperbetulkan ialah persepsi bahawa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) bertanggungjawab terhadap penangguhan tersebut hanya kerana kenyataan rasmi dikeluarkan atas namanya.
BHEUU ialah urus setia kepada Lembaga Pengampunan. Pegawai-pegawainya menguruskan dokumen, menyelaraskan mesyuarat, merekodkan keputusan dan menyampaikan kenyataan melalui saluran rasmi. Mereka bukan pembuat keputusan politik dan tidak seharusnya dipaksa memikul beban keputusan yang dibuat pada peringkat lebih tinggi.
Jangan sembunyikan tangan politik di belakang kepala surat penjawat awam.
Jika sesuatu keputusan menimbulkan kemarahan rakyat, pihak yang memiliki kedudukan, kuasa dan tanggungjawab dalam struktur berkenaan wajib tampil memberikan penjelasan. Jangan biarkan pegawai kerajaan menjadi benteng hadapan sedangkan pemegang jawatan politik memilih untuk berdiam diri.
Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan merupakan anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan. Pada hari ini, tanggungjawab tersebut dipikul oleh Hannah Yeoh.
Hannah bukan sekadar menteri yang mengumumkan bahawa mesyuarat akan berlangsung. Beliau bukan pemerhati yang menunggu keputusan dari luar bilik. Kedudukannya dalam Lembaga Pengampunan wujud berdasarkan portfolio yang dipegangnya dan disebut dalam kerangka Perlembagaan.
Kuasa memberikan ampun, tunda hukum dan lega hukum sememangnya terletak pada Yang di-Pertuan Agong. Kedudukan serta kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda wajib dihormati tanpa syarat. Akauntabiliti Menteri Wilayah pula merupakan persoalan yang berbeza dan tidak boleh disembunyikan atas nama menghormati institusi diraja.
Rakyat berhak bertanya kepada Hannah: Adakah semua dokumen dan representasi berkaitan Najib telah dikemukakan dengan lengkap? Adakah permohonan itu dibentangkan tanpa sebarang keciciran pentadbiran? Apakah pendirian yang dibawa oleh Menteri Wilayah sebagai anggota lembaga? Adakah apa-apa pertimbangan tambahan diperlukan sehingga keputusan tersebut terpaksa ditangguhkan?
Tiada siapa menuntut supaya rahsia mesyuarat didedahkan. Rakyat hanya menuntut jaminan bahawa proses itu berjalan secara lengkap, adil dan bebas daripada tekanan politik. Kenyataan bahawa perkara tersebut “ditangguhkan ke mesyuarat akan datang” sahaja belum memadai jika tarikh, sebab dan hala tuju seterusnya terus kabur.
Penangguhan bukan penolakan. Permohonan Najib masih “valid” dan belum diputuskan. Namun, penangguhan tanpa penjelasan munasabah akan mencetuskan persepsi bahawa proses Perlembagaan sedang dipanjangkan sehingga akhirnya kehilangan makna.
Kecurigaan rakyat menjadi lebih kuat apabila Pakatan Harapan lebih awal mengeluarkan pendirian bahawa individu yang disabitkan dalam kes rasuah atau salah guna kuasa berprofil tinggi mesti menjalani keseluruhan hukuman. Kenyataan sedemikian dibuat ketika proses pengampunan masih berjalan dan Lembaga Pengampunan belum menyelesaikan pertimbangannya.
Jika PH benar-benar menghormati Perkara 42, mengapa kesimpulan politik mahu ditetapkan sebelum proses Perlembagaan disempurnakan?
Prinsip tidak boleh berubah mengikut nama pemohon. Proses Lembaga Pengampunan diterima, dipertahankan dan diraikan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan pengampunan penuh pada 2018. Saluran Perlembagaan yang sama tidak boleh tiba-tiba digambarkan sebagai ancaman kepada kedaulatan undang-undang hanya apabila Najib menggunakannya.
Pengampunan bukan pembatalan sistem kehakiman. Ia sebahagian daripada sistem Perlembagaan itu sendiri. Memohon pengampunan bukan perbuatan menghina mahkamah, sebagaimana memberikan pengampunan bukan tindakan meruntuhkan undang-undang.
Kerajaan juga mesti berhenti mencipta suasana ketakutan dalam pentadbiran awam. Institusi penguatkuasaan seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Penjara dan Jabatan Peguam Negara tidak boleh dijadikan alat tekanan politik, senjata untuk membungkam kritikan atau bayang-bayang ancaman terhadap sesiapa yang enggan menurut kehendak pihak berkuasa.
Penjawat awam berkhidmat kepada negara, bukan kepada mana-mana parti. Mereka wajib mematuhi undang-undang dan tatacara bukannya dipaksa melindungi kepentingan politik seseorang menteri. Jika berlaku kelemahan pentadbiran, siasatan hendaklah dijalankan secara profesional. Jika timbul pertikaian politik, menteri sendiri wajib menjawabnya secara terbuka.
Jangan ugut penjawat awam supaya mereka berdiam diri. Jangan gunakan institusi penguatkuasaan untuk menakutkan mereka yang mengetahui perjalanan sebenar sesuatu proses. Jangan jadikan pegawai kerajaan kambing hitam apabila keputusan politik gagal diterima rakyat.
UMNO pula mesti terus mempertahankan Najib melalui saluran Perlembagaan dengan tertib, tegas dan konsisten. Kekecewaan tidak boleh dialihkan kepada Istana. Desakan mesti ditujukan kepada wakil politik dalam kerajaan yang mempunyai kedudukan dan tanggungjawab dalam proses tersebut.
Hannah Yeoh perlu tampil memberikan keyakinan bahawa setiap tanggungjawabnya sebagai anggota Lembaga Pengampunan telah dilaksanakan dengan adil dan sempurna. BHEUU tidak boleh dibiarkan bersendirian menanggung persepsi awam hanya kerana bertindak sebagai urus setia dan mengeluarkan kenyataan rasmi.
Rakyat sedang memerhati. Mereka mahu mengetahui sama ada keadilan benar-benar dilaksanakan menurut Perlembagaan atau hanya dibenarkan bergerak apabila selari dengan kehendak politik Pakatan Harapan.
Jangan memperalatkan institusi penguatkuasaan. Jangan ugut penjawat awam. Jangan berlindung di belakang BHEUU. Mereka yang memegang kuasa politik mesti berani memikul tanggungjawab politik.

