Istilah “komitmen melebihi peruntukan” tidak boleh dipetik secara terpisah sehingga menimbulkan gambaran bahawa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah sewenang-wenangnya meluluskan projek atau berbelanja melampaui kemampuan kewangan kerajaan.
Fadzmel Fadzil, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menjelaskan bahawa isu tersebut perlu difahami berdasarkan keseluruhan tatacara belanjawan kerajaan, peranan setiap kementerian dan agensi serta sejarah tunggakan yang dibawa dari tahun-tahun sebelumnya.
Premis pertama yang mesti diperjelaskan ialah sesuatu projek pembangunan tidak diwujudkan oleh KKDW secara bersendirian. Sesebuah projek bermula daripada kelulusan kerajaan melalui proses perancangan bersama Kementerian Ekonomi, manakala peruntukannya ditentukan melalui Kementerian Kewangan. Setiap komitmen yang direkodkan merupakan sebahagian daripada keputusan dan tatacara kerajaan secara menyeluruh.
Dalam pelaksanaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB), KKDW bertindak sebagai kementerian yang membida, memohon dan memegang peruntukan bagi memenuhi keperluan pembangunan rakyat luar bandar. Peruntukan tersebut kemudiannya disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana.
Mengapa JKR? JKR merupakan Jabatan Teknikal yang mempunyai kepakaran untuk menguruskan keseluruhan proses teknikal projek. Berdasarkan Arahan Perbendaharaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, proses pra-pelaksanaan, penyediaan spesifikasi, tender, pelantikan kontraktor, pemantauan kemajuan kerja, pengesahan tuntutan dan pembayaran kepada kontraktor berada di bawah pengurusan JKR.
Tanggungjawab KKDW adalah mendapatkan dan memegang peruntukan sebelum menyalurkan waran kepada JKR. Gambaran seolah-olah KKDW secara bersendirian melantik kontraktor, menentukan keseluruhan komitmen dan membuat pembayaran adalah tidak tepat.
Perbezaan antara nilai keseluruhan projek dengan siling tunai tahunan juga perlu difahami. Dari tahun 2016 hingga 2026, sebanyak 517 projek baharu JALB bernilai RM36.6 bilion telah diluluskan kepada KKDW. Dalam tempoh yang sama, jumlah peruntukan tahunan yang disediakan oleh Kementerian Kewangan adalah sekitar RM12 bilion.
Dua angka tersebut tidak boleh dibandingkan seolah-olah kedua-duanya mewakili perkara yang sama. RM36.6 bilion ialah nilai keseluruhan projek yang dilaksanakan merentasi beberapa tahun, manakala RM12 bilion ialah jumlah peruntukan tunai tahunan yang disediakan dalam tempoh berkenaan.
Nilai komitmen projek akan terus meningkat apabila kerajaan meluluskan projek baharu setiap tahun, sedangkan pembayaran dibuat secara berperingkat berdasarkan Rolling Plan, kemajuan kerja dan siling tunai tahunan.
Keputusan KKDW untuk memohon projek baharu mempunyai asas yang kukuh. Keperluan pembangunan luar bandar amat dinamik dan sentiasa berubah mengikut perkembangan ekonomi tempatan, keadaan geografi, pertambahan penduduk serta keperluan mendesak selepas bencana seperti banjir.
Mana-mana kerajaan yang memerintah tetap perlu meluluskan projek baharu untuk memenuhi keperluan kritikal masyarakat luar bandar. Kerajaan tidak boleh meminta penduduk kampung menunggu semua projek lama diselesaikan sebelum jalan rosak, jambatan terputus atau kemudahan asas baharu diberikan perhatian.
Pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 79 projek baharu bernilai hampir RM6.9 bilion telah diluluskan. Pada masa yang sama, terdapat 415 projek JALB yang masih perlu diurus dan dilaksanakan dengan kos keseluruhan melebihi RM34 bilion. Angka ini memperlihatkan keluasan tanggungjawab pembangunan yang sedang dipikul, bukannya bukti bahawa KKDW mencipta perbelanjaan sesuka hati.
Premis kedua pula melibatkan angka yang dipaparkan oleh Kementerian Kewangan sebagai “lebihan komitmen”. Angka berkenaan bukan semestinya perbelanjaan atau komitmen baharu. Sebahagian daripadanya merupakan bayaran bagi tempoh 2019 hingga 2021 yang tertangguh dan dibawa ke tahun berikutnya.
Apabila sesuatu bajet diumumkan dan diluluskan melalui proses kerajaan, KKDW hanya melaksanakan projek mengikut peruntukan yang diberikan. Nilai yang kemudiannya kelihatan melebihi peruntukan tahunan boleh berpunca daripada obligasi pembayaran kerajaan yang tertangguh, bukannya projek baharu yang diwujudkan tanpa kelulusan.
Contoh mudahnya ialah Projek A bernilai RM300 juta yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk tempoh lima tahun. Secara asasnya, kerajaan menyediakan siling RM60 juta bagi setiap Rolling Plan atau RP.
Sekiranya pelaksanaan projek terganggu akibat pandemik COVID-19, tender mungkin lewat disempurnakan oleh agensi pelaksana. Peruntukan RM120 juta bagi RP1 dan RP2 yang tidak dapat digunakan ketika itu terpaksa dipulangkan kepada Kementerian Kewangan.
Apabila projek boleh dimulakan semula pada RP3, kontraktor melaksanakan kerja dan mengemukakan tuntutan RM120 juta berdasarkan peruntukan RP1 dan RP2 yang telah diluluskan sebelumnya. RP3 pada masa yang sama mempunyai peruntukan semasa sebanyak RM60 juta.
Penyata kewangan RP3 akhirnya akan menunjukkan keperluan pembayaran RM180 juta berbanding siling tahunan RM60 juta. Lebihan RM120 juta yang kelihatan itu bukan komitmen baharu. Ia merupakan tunggakan dua Rolling Plan terdahulu yang dibawa ke hadapan selepas pelaksanaan projek tertangguh.
Premis ketiga ialah KKDW tetap bertanggungjawab mencari penyelesaian untuk membayar hutang kerajaan kepada kontraktor yang telah melaksanakan kerja. Usaha tersebut dilakukan melalui pindahan peruntukan dalaman daripada program pembangunan luar bandar lain sebelum waran disalurkan kepada JKR bagi membayar tuntutan projek JALB.
Keadaan inilah yang berlaku apabila jumlah komitmen projek merentasi beberapa tahun lebih besar daripada siling tunai yang disediakan bagi sesuatu tahun. Ia tidak bermaksud KKDW sesuka hati “berbelanja lebih”. Rekod dari tahun 2022 hingga 2025 menunjukkan perbelanjaan JALB kekal dalam lingkungan peruntukan dipinda yang tersedia.
Premis keempat yang mesti ditegaskan ialah KKDW tidak mencipta sendiri projek-projek berkenaan. Permohonan peruntukan dikemukakan melalui proses saringan belanjawan atau Budget Screening oleh Kementerian Kewangan. Selepas projek diluluskan kerajaan dan peruntukan diterima, KKDW menyalurkan waran kepada JKR sebagai agensi pelaksana dan Jabatan Teknikal untuk membuat pembayaran mengikut Arahan Perbendaharaan.
Justeru, istilah “komitmen melebihi peruntukan” mesti dibaca bersama sejarah kelulusan projek, jadual pelaksanaan, pemulangan peruntukan, tunggakan pembayaran dan siling tunai tahunan. Memaparkan satu angka tanpa keseluruhan konteks hanya akan melahirkan persepsi yang mengelirukan.
Saya berharap keempat-empat premis ini dapat difahami dengan jelas supaya isu tersebut tidak terus dipolemikkan sehingga menimbulkan salah tafsir terhadap urusan serta tatacara pentadbiran kerajaan.
Nilai projek bukan jumlah tunai tahunan. Tunggakan bukan komitmen baharu. Membayar kerja yang telah dilaksanakan pula bukan berbelanja sesuka hati, tetapi menunaikan tanggungjawab kerajaan kepada kontraktor dan rakyat luar bandar.

