Malaysia Hot

Isu KKDW: Jangan Jadikan Peruntukan Kementerian Sebagai Tekanan Politik - Datuk Suraya




Isu peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak boleh dikecilkan sebagai pertikaian pentadbiran antara dua kementerian. Di sebalik setiap angka yang dipersoalkan, terdapat jalan kampung yang perlu disiapkan, kemudahan asas yang dinantikan, kontraktor yang belum menerima bayaran dan rakyat luar bandar yang mengharapkan janji kerajaan ditunaikan.

Datuk Suraya Yaacob, Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, menegaskan bahawa perkara yang dibangkitkan oleh Menteri KKDW, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mempunyai merit yang tinggi kerana peruntukan tersebut melibatkan projek pembangunan yang menyentuh kehidupan rakyat secara langsung. Penjelasan yang diberikan tidak boleh sekadar bersandarkan istilah teknikal, jadual kewangan atau angka di atas kertas tanpa memperincikan keadaan sebenar projek di lapangan.

Apabila bayaran bagi projek pembangunan luar bandar terganggu, kesannya tidak terhenti di meja kontraktor utama. Rantaian tekanan itu bergerak terus ke bawah. Kontraktor kecil kehilangan aliran tunai, pembekal terpaksa menunggu, pekerja berdepan kelewatan upah, pembelian bahan binaan tergendala dan fasa kerja seterusnya tidak dapat dimulakan.

Sebuah syarikat kecil di luar bandar tidak mempunyai rizab kewangan tanpa batas. Kelewatan satu bayaran boleh menjejaskan beberapa projek serentak, memaksa kontraktor menanggung pinjaman dan akhirnya mengancam kelangsungan perniagaan serta mata pencarian keluarga pekerja mereka.

Pada penghujung rantaian ini, rakyat jugalah yang menerima kesan paling besar. Mereka telah dijanjikan kemudahan, pembangunan dan kehidupan yang lebih baik oleh kerajaan. Mereka tidak mahu mendengar alasan bahawa berlaku pertikaian antara kementerian. Mereka hanya mahu mengetahui mengapa projek yang diumumkan belum disiapkan, mengapa kerja menjadi perlahan dan bilakah kemudahan yang dijanjikan akan dapat digunakan.

Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila banyak projek berkenaan terletak di kawasan yang diwakili UMNO. Sebarang kegagalan menyiapkan projek mengikut jadual pasti memberikan gambaran buruk terhadap prestasi menteri yang dipertanggungjawabkan, sedangkan urusan penyaluran dan pembayaran peruntukan turut bergantung pada keputusan serta tindakan kementerian lain.

Dalam kes ini, Menteri KKDW juga merupakan Presiden UMNO. Kelewatan yang berpanjangan boleh mencetuskan persepsi bahawa beliau dan kementerian yang diterajuinya gagal melaksanakan tanggungjawab, walaupun punca sebenar mungkin berpunca daripada urusan kewangan yang berada di luar kawalan KKDW.

Atas sebab itu, Kementerian Kewangan mesti memberikan penjelasan yang lebih menyeluruh, telus dan meyakinkan. Adakah masalah ini semata-mata berpunca daripada kekangan kewangan dan prosedur pentadbiran, atau sudah mula dicampuri pertimbangan politik menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka?

Kementerian Kewangan perlu menjawab keraguan ini dengan fakta, angka dan garis masa yang lengkap. Jika terdapat masalah pematuhan, nyatakan projek yang terlibat. Jika dokumen tidak lengkap, jelaskan dokumen yang masih diperlukan. Jika kerajaan berdepan kekangan tunai, berterus teranglah kepada rakyat.

Jangan berselindung di sebalik alasan teknikal sehingga kerja yang telah dilaksanakan terus tidak dibayar dan rakyat dibiarkan menunggu tanpa kepastian.

Kementerian yang diterajui UMNO tidak boleh dijadikan medan tekanan politik melalui kelewatan atau sekatan peruntukan. Projek rakyat juga tidak boleh dijadikan sasaran untuk memaksa UMNO menerima sebarang formula gabungan pilihan raya yang tidak dipersetujui.

Jika terdapat sebarang pertimbangan politik di sebalik urusan peruntukan ini, ia mesti dihentikan serta-merta. Wang pembangunan luar bandar bukan milik mana-mana parti. Peruntukan tersebut ialah amanah negara untuk membina kemudahan dan memperbaiki kehidupan rakyat, khususnya masyarakat desa yang masih memerlukan perhatian kerajaan.

UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan bagi memastikan pentadbiran negara dapat diteruskan dengan stabil sehingga tamat penggal. Prinsip kestabilan yang sama mesti dihormati oleh semua pihak dalam kerajaan. Kerjasama tidak boleh bersifat satu hala, manakala kedudukan dalam kerajaan tidak seharusnya digunakan untuk melemahkan atau menekan mana-mana rakan gabungan.

Cukup-cukuplah berpolitik sehingga rakyat menjadi mangsa. Rakyat tidak memilih sebuah kerajaan untuk menyaksikan kementerian saling menekan, menyalahkan dan mempertikaikan tanggungjawab masing-masing. Mereka memilih kerajaan untuk menyelesaikan masalah, melaksanakan pembangunan dan menunaikan janji.

Lunaskan tanggungjawab. Siapkan projek rakyat. Bayar kerja yang telah dilaksanakan. Pastikan setiap janji pembangunan disempurnakan sehingga ke penghujung penggal.

Rakyat mungkin tidak mengikuti setiap istilah kewangan dan prosedur pentadbiran, namun rakyat tahu siapa yang bekerja, siapa yang membantu dan siapa yang menjadikan keperluan mereka sebagai percaturan politik.

 

 

Previous Post Next Post

نموذج الاتصال