Jika Madinah Sudah Menjawab 75 Soalan, Mengapa Beliau Tidak Diperiksa di Hadapan Panel RCI?
Pertikaian mengenai kehadiran bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan Tabung Haji sedang dibina di atas satu kekeliruan yang sepatutnya mudah diperbetulkan, dipanggil untuk hadir tidak semestinya bermaksud seseorang itu telah diperiksa sebagai saksi.
Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican berpandangan tidak wujud percanggahan antara penjelasan Madinah dengan kenyataan Tan Sri Abdul Rashid Hussain. Hasnal yang juga seorang peguam menyifatkan kedua-duanya sebagai dua babak berbeza pada garis masa dalam episod yang sama.
Rashid menjelaskan bahawa Madinah telah disepina untuk hadir pada 3 Jun 2022. Beliau turut menyatakan Madinah meminta supaya hadir bersama Timbalan Pengarah Bahagian Audit Kewangan, Dr Mona Othman, sedangkan tatacara RCI menghendaki setiap saksi diperiksa secara individu. Mona pula telah memberikan keterangan sehari sebelumnya pada 2 Jun.
Penjelasan itu mengesahkan bahawa sepina memang dikeluarkan. Ia tidak menjawab mengapa sesi pemeriksaan Madinah pada 3 Jun tidak diteruskan.
Madinah tidak pernah menafikan bahawa beliau dipanggil hadir. Sebaliknya, beliau mengakui telah datang ke lokasi prosiding pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Selepas menunggu di luar bilik prosiding, beliau dimaklumkan oleh urus setia bahawa keterangannya tidak diperlukan dan dibenarkan pulang.
Jadi, di manakah kontradiksinya?
Satu pihak bercakap mengenai sepina dan kehadiran. Satu pihak lagi bercakap mengenai sesi pemeriksaan yang tidak pernah berlangsung. Kedua-dua kenyataan itu boleh benar pada masa yang sama.
Alasan bahawa Madinah mahu ditemani Mona juga belum menyelesaikan persoalan pokok. Sebuah RCI berkuasa menentukan perjalanan prosidingnya sendiri. Jika prosedur tidak membenarkan dua saksi memberikan keterangan serentak, suruhanjaya boleh mengarahkan Madinah masuk bersendirian, memisahkan pemeriksaan mereka atau menetapkan masa baharu.
Madinah bukan pihak yang menentukan rukun dan tatacara prosiding. ‘RCI governs its own proceedings’.
Mengapakah kuasa itu tidak digunakan?
Mengapakah Madinah tidak diarahkan memberikan keterangan bersendirian?
Mengapakah seorang Ketua Audit Negara yang menandatangani sijil audit berkaitan akhirnya tidak diperiksa secara langsung oleh panel?
Laporan RCI sendiri merekodkan bahawa suruhanjaya mengenal pasti 45 saksi melalui Akuan Berkanun Saksi tetapi hanya 16 daripada mereka dipanggil memberikan keterangan dalam prosiding tertutup. Perbezaan antara keterangan bertulis dengan pemeriksaan di hadapan panel memang wujud dalam struktur siasatan itu sendiri.
Rashid turut menjelaskan bahawa Madinah diberikan 75 soalan untuk dijawab secara bertulis. Jawapan tersebut dikemukakan melalui akuan berkanun bersama surat iringan dan direkodkan sebagai kenyataan saksi RCI.
Penyerahan jawapan bertulis kepada 75 soalan tetap tidak sama dengan peluang hadir di hadapan panel, menghuraikan konteks, menjawab soalan susulan dan mempertahankan pertimbangan profesional yang dibuat oleh pasukan auditnya.
Dokumen bertulis hanya menjawab soalan yang telah dirangka. Pemeriksaan secara langsung membolehkan jawapan diteroka, kekeliruan diperjelaskan dan pertimbangan saksi diuji dengan lebih mendalam.
Satu persoalan baharu kini munculviaitu apakah sebenarnya jawapan Madinah kepada kesemua 75 soalan tersebut?
Kerajaan menyatakan bahawa laporan RCI setebal 211 halaman telah diterbitkan sepenuhnya tanpa tapisan atau suntingan. Namun, keseluruhan 75 soalan berserta jawapan penuh Madinah tidak disertakan dalam laporan yang boleh dibaca rakyat.
Jika kerajaan benar-benar mahu ketelusan menyeluruh, dedahkan sepina bertarikh 3 Jun, rekod kehadiran Madinah, minit keputusan membatalkan atau tidak meneruskan pemeriksaannya, serta kesemua 75 soalan dan jawapan beliau.
Biar rakyat membaca sendiri. Biar pakar audit menilai sendiri. Biar sejarah menentukan sama ada penjelasan seorang bekas Ketua Audit Negara telah dipertimbangkan secara adil atau sekadar disimpan sebagai dokumen tanpa beliau pernah diberikan ruang untuk bersuara di hadapan panel.
Isunya bukan sama ada Madinah dipanggil. Isunya ialah mengapa setelah disepina dan hadir, beliau tetap tidak didengar.

