KOTA TINGGI, 4 Sept — Ahli Parlimen Pengerang, Dato' Sri Azalina Othman Said mencadangkan supaya kawasan pesisir pantai di Desaru, termasuk Pantai Tanjung Lompat, dilengkapi bendera merah dan papan tanda amaran bagi menghalang pengunjung daripada berenang di kawasan berisiko tinggi.
Beliau berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya bagi pantai yang mempunyai arus deras dan tidak sesuai untuk aktiviti berenang.
“Langkah ini penting, terutama ketika musim cuti sekolah apabila lebih ramai pengunjung dijangka mengunjungi kawasan pantai,” katanya pada sidang media selepas menziarahi keluarga mangsa lemas di Pantai Tanjung Lompat di sini hari ini.
Azalina, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), menasihatkan keluarga supaya mengelakkan aktiviti laut dari September hingga Disember berikutan tiupan angin kencang.
Menurut beliau, pengunjung mungkin tidak menyedari risiko yang wujud, khususnya di kawasan perkhemahan yang tidak mempunyai papan tanda jelas mengenai larangan berenang.
Mengenai keperluan mengadakan rondaan pantai atau menempatkan anggota penyelamat, Azalina berkata perkara itu perlu dikaji kerana kawasan pesisir pantai di Pengerang sangat luas dan pelaksanaannya akan melibatkan kos tambahan. Keadaan itu berbeza dengan pusat peranginan yang menyediakan anggota penyelamat sebagai sebahagian daripada pengurusan premis.
Beliau berkata, keadaan laut di Pengerang berbeza daripada beberapa kawasan pantai lain seperti Terengganu, Mersing dan Tioman kerana kawasan berkenaan merupakan laluan perdagangan yang mempunyai arus kuat.
Menurutnya, tiupan angin kencang juga boleh menyebabkan permukaan laut kelihatan tenang walaupun keadaan sebenarnya tidak selamat kerana arus deras atau arus berpusing mungkin berlaku di bawah permukaan air.
Setakat ini, tiga daripada empat mangsa dalam kejadian pada pagi Rabu itu ditemukan lemas. Mereka ialah Muhammad Adib Hafiy Kamal, Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor dan Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, masing-masing berusia 16 tahun.
Tags
Berita

