KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan tidak wajar digambarkan sebagai suatu tindakan yang “mengatasi undang-undang”, kata Ketua Penerangan UMNO, Dato’ Sri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, kuasa pengampunan bukanlah sesuatu yang berada di luar kerangka undang-undang kerana kuasa tersebut diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Azalina, Perkara 42 memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, selain menetapkan kerangka perlembagaan bagi Lembaga Pengampunan.
“Oleh itu, pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan tidak wajar digambarkan sebagai suatu tindakan yang ‘mengatasi undang-undang’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan malam tadi bahawa tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang.
Majlis itu dalam satu kenyataan susulan berhubung keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukumannya menerusi tahanan rumah bersyarat, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta, turut menyatakan bahawa sesiapa yang telah disabitkan dengan sesuatu kesalahan mesti menjalani hukuman selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.
Azalina berkata, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara dan semua pihak turut terikat dengan peruntukannya.
“Prinsip kedaulatan undang-undang tidak dipertikaikan. Tiada individu, kerajaan atau institusi yang mengatasi undang-undang,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kewujudan kuasa pengampunan menurut Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau mana-mana individu diletakkan mengatasi undang-undang.
“Keputusan kehakiman dan proses pengampunan merupakan dua perkara yang berbeza. Mahkamah melaksanakan fungsi kehakiman dalam menentukan kesalahan dan hukuman.
“Perkara 42 pula menyediakan mekanisme perlembagaan yang berkaitan dengan pengampunan, penangguhan pelaksanaan hukuman dan pengurangan hukuman.”
Azalina berkata, setiap institusi mesti bertindak dalam lingkungan kuasa yang diberikan kepadanya oleh Perlembagaan.
Menurut beliau, peranan masing-masing yang dimainkan oleh Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan menteri berkaitan perlu difahami berdasarkan Perkara 42 serta tatacara perlembagaan yang telah ditetapkan, bukannya melalui tafsiran atau persepsi politik.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah memaklumkan kepada Parlimen bahawa tatacara dan urusan sedia ada berkaitan Lembaga Pengampunan dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pendirian saya sebagai Ketua Penerangan UMNO adalah jelas. Saya menghormati keputusan mahkamah, menghormati Perlembagaan dan menghormati proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“Sebarang persoalan berhubung kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan mesti dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta dan tatacara sebenar yang telah diikuti, bukan semata-mata berdasarkan kenyataan politik.
“Tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang. Dan tiada sesiapa yang mengatasi Perlembagaan,” katanya.
Tags
Berita

