Malaysia Hot

Azalina: Kerajaan Terbuka Dedah Laporan Penuh Mengenai Pegangan Saham Azam Baki


KUALA LUMPUR: Kerajaan terbuka untuk mendedahkan kepada umum laporan penuh jawatankuasa khas yang menyiasat dakwaan pemilikan saham membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, tertakluk kepada pertimbangan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato Sri Azalina Othman Said, berkata pendedahan itu akan dipertimbangkan sekiranya perlu.

Beliau berkata, sebarang keputusan perlu mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada, khususnya berkaitan perlindungan data peribadi, kerahsiaan dokumen siasatan, rekod pengisytiharan harta serta kepentingan pihak berkaitan.

“Sebarang pengumuman akan dibuat oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media pejabat itu bertarikh 31 Mac, sekiranya terdapat perkembangan atau keputusan rasmi yang wajar didedahkan kepada umum.

“Isu pemilikan dan pengisytiharan harta, termasuk pegangan saham Azam, telah diteliti oleh Jawatankuasa Siasatan Khas yang ditubuhkan pada 13 Februari. Soalan yang sama turut dibangkitkan pada 25 Jun.

“Jawatankuasa itu telah menyelesaikan siasatannya secara bebas, telus dan profesional, dan hasil siasatannya telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال