Malaysia Hot

Azalina Tegas BN Tolak Fitnah, Mahu Menang Atas Kekuatan Sendiri


Barisan Nasional (BN) mahu mendapatkan mandat rakyat Melaka melalui kekuatan calon, rekod perkhidmatan dan tawaran penyelesaian, dengan menolak kempen berunsur fitnah, serangan peribadi serta sentimen kebencian sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Dato’ Sri Azalina Othman Said menegaskan, pilihan raya sewajarnya menjadi medan persaingan idea, dasar dan keupayaan berkhidmat, dengan kepentingan rakyat mengatasi kecenderungan mencetuskan permusuhan.

Beliau menegaskan BN menolak kempen berunsur fitnah dan serangan peribadi.

“Kita mahu mendapatkan mandat berdasarkan kekuatan sendiri, bukan dengan menjatuhkan pihak lain.

“Rakyat Melaka berhak membuat pilihan berdasarkan fakta, bukan fitnah atau sentimen kebencian,” katanya dalam kenyataan sempena penamaan calon PRN Melaka pada 31 Oktober 2026.

Beliau berkata, kempen BN mesti berteraskan calon, manifesto dan rekod perkhidmatan supaya pengundi dapat menilai keupayaan, pengalaman serta perancangan yang ditawarkan untuk membawa Melaka ke hadapan.

Sehubungan itu, semua calon, jentera dan penyokong parti diseru berkempen secara adil, matang serta bermaruah, di samping mematuhi undang-undang pilihan raya dan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Azalina turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati perbezaan pendapat dan menjauhi provokasi yang menyentuh sensitiviti agama, kaum serta institusi diraja atau 3R.

Menurutnya, persaingan politik perlu berlangsung dengan berhemah agar proses memilih kepimpinan negeri tidak mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.

Dalam kenyataan sama, beliau mengucapkan tahniah kepada kesemua 79 calon yang mengemukakan kertas penamaan bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Kesediaan tampil menawarkan khidmat kepada rakyat, katanya, merupakan amanah dan tanggungjawab yang wajar dihormati tanpa mengira parti atau perbezaan pendirian politik.

Secara khusus, penghargaan itu ditujukan kepada 23 calon BN yang terdiri daripada 18 calon UMNO, empat calon MCA dan seorang calon MIC, serta lima calon rakan kerjasama daripada Perikatan Nasional.

Dengan seorang calon bagi setiap kerusi yang dipersetujui, beliau berkata, rakyat Melaka diberikan pilihan yang jelas untuk menentukan kepimpinan dan hala tuju negeri.

Azalina turut merakamkan penghargaan kepada SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kelancaran proses penamaan calon di kesemua pusat penamaan.

Tiada kertas penamaan ditolak, semua 28 kerusi menyaksikan pertandingan dan proses berkenaan berlangsung dalam suasana aman serta terkawal.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai permulaan yang baik bagi tempoh berkempen selama 14 hari, selain mencerminkan komitmen semua pihak memelihara proses demokrasi.

Beralih kepada peranan komunikasi, Azalina memberikan penekanan khusus kepada pengukuhan kempen digital dan media sosial oleh seluruh Jentera Penerangan UMNO, termasuk Wanita, Pemuda serta Puteri.

Dengan 43.6 peratus pengundi Melaka berusia antara 21 hingga 40 tahun, beliau berkata, pendekatan komunikasi perlu lebih dinamik, kreatif dan dekat dengan pengundi muda.

Keutamaan itu, tegasnya, mesti disertai maklumat yang tepat, kandungan yang menarik serta penjelasan berfakta dan berhemah.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap cabaran ekosistem digital, termasuk penggunaan akaun automatik atau bot untuk menyebarkan naratif secara berulang dan berskala besar.

Dakwaan sekatan capaian atau shadow ban serta penurunan kandungan oleh platform digital juga perlu dinilai berdasarkan bukti dan maklumat sahih.

“Jangan mudah terpengaruh dengan jumlah tanda suka, komen atau perkongsian yang luar biasa. Semak sumber, teliti fakta dan fikir sebelum berkongsi,” katanya.

Bagi kandungan yang disyaki mengandungi berita palsu, fitnah, penyamaran identiti atau pelanggaran berkaitan sensitiviti 3R, orang ramai disaran mengemukakan aduan melalui saluran rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Kesalahan pilihan raya pula boleh dilaporkan kepada SPR, PDRM atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengikut bidang kuasa masing-masing.

Pengguna yang berdepan penurunan kandungan oleh platform digital boleh menggunakan saluran rayuan platform berkenaan, dengan menyimpan bukti seperti tangkap layar, pautan dan maklumat masa bagi membolehkan aduan diteliti sewajarnya.

Kepada Jentera Penerangan UMNO, Azalina menyeru penglibatan aktif dalam memperluas penyampaian mesej rasmi calon BN menerusi interaksi yang tulen dan organik.

Ini termasuk mengikuti akaun rasmi calon, menonton kandungan, memberikan tanda suka, meninggalkan komen membina serta berkongsi maklumat melalui akaun sebenar.

Beliau menegaskan, setiap penglibatan mesti menggunakan bahasa yang sopan dan berfakta, tanpa serangan peribadi atau tindakan yang boleh mencemarkan imej parti.

Azalina turut menyeru rakyat Melaka menilai setiap calon dan tawaran secara rasional serta matang, sebelum menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, 14 November 2026. Pengundian awal dijadualkan pada 10 November 2026.

Beliau menegaskan komitmen BN untuk terus berkhidmat dengan penuh hormat, berhemah dan bertanggungjawab, berpegang pada pendirian yang digariskan dalam kenyataan itu.

“Bertanding dengan bermaruah. Berkempen dengan berhemah. Berkhidmat untuk rakyat.”
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال