Modus operandi ini terlalu naif dan mudah dibaca dengan fokus menyemai kebencian terhadap calon yang bertanding demi meraih kemenangan mudah. Namun, kemenangan melalui taktik sebegini bukanlah ukuran kualiti seseorang wakil rakyat.
Rakyat pernah disajikan dengan kempen yang sarat dengan janji dan harapan. Malangnya, apabila kerajaan dibentuk atau kerusi wakil rakyat dimenangi, janji yang ditabur tidak ditunaikan. Kemudahan dan keistimewaan jawatan pula digunakan untuk menikmati keselesaan diri serta keluarga, sedangkan tanggungjawab terhadap pengundi diabaikan.
Akhirnya, yang menang menikmati kesenangan, sementara rakyat yang menaruh harapan terus menggigit jari sepanjang lima tahun.
Modus operandinya mudah iaitu dengan menjadikan media sosial sebagai medan utama operasi. Kumpulan “cybertrooper” yang digelar “ceplos” ini mencipta sebanyak mungkin akaun palsu di platform tertentu untuk merekayasa dan menyebarkan fitnah terhadap pihak lawan.
Mereka turut menyamar sebagai pihak lawan untuk menyerang kem sendiri, sekali gus mewujudkan gambaran seolah-olah calon mereka menjadi mangsa serangan. Tujuannya adalah untuk meraih simpati terhadap calon sendiri sambil menyemai kebencian terhadap pihak lawan yang dipersalahkan atas serangan tersebut. Mereka ‘play victim’.
Menabur fitnah, berselindung di sebalik akaun palsu dan kemudian berlakon sebagai mangsa bukan kehebatan politik. Itu tanda ketandusan hujah dan ketiadaan integriti. Jika untuk meraih kuasa pun rakyat sanggup diperdaya, bagaimana amanah mereka mahu dipelihara selepas berkuasa? Kerusi wakil rakyat ialah amanah untuk berkhidmat, bukan hadiah kepada mereka yang paling licik menipu rakyat.

