Malaysia Hot

RUU Pendanaan Politik: Penyumbang Sah Wajar Dilindungi – Azalina


Beberapa syor dasar bagi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) dalam masa terdekat, dengan perhatian turut diberikan kepada perlindungan penyumbang sah daripada tindakan balas serta keperluan memperkukuh ketelusan dana politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato' Sri Azalina Othman Said berkata, syor berkenaan akan melalui penelitian dan proses mendapatkan maklum balas lanjut sebelum dimuktamadkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Menurut beliau, antara prinsip yang sedang dipertimbangkan ialah memastikan individu atau pihak yang memberikan sumbangan politik secara sah tidak berdepan tindakan balas mahupun layanan tidak adil disebabkan sumbangan tersebut.

Prinsip itu, bagaimanapun, tidak memberikan kekebalan daripada tindakan undang-undang sekiranya terdapat asas yang sah dan bebas untuk tindakan diambil.

“Sekiranya terdapat sebab yang sah dan bebas, contohnya berkaitan ketidakpatuhan cukai, pelanggaran syarat lesen, kesalahan jenayah atau isu dalam proses perolehan kerajaan, tindakan sewajarnya tetap boleh diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

“Justeru, yang perlu dipastikan ialah terdapat pemisahan yang jelas antara sumbangan politik yang dibuat secara sah dengan fungsi kerajaan dalam melaksanakan audit, pengawalseliaan, penguatkuasaan dan perolehan,” katanya.

Azalina menjelaskan perkara itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PN–Kubang Kerian).

Tuan Ibrahim meminta penjelasan mengenai mekanisme dalam RUU berkenaan untuk melindungi penyumbang kepada semua parti daripada tindakan balas susulan sumbangan politik yang dibuat secara sah.

Persoalan itu turut menyentuh kebimbangan bahawa penyumbang mungkin berdepan audit cukai, semakan lesen atau tindakan berkaitan kontrak kerajaan kerana memberikan dana politik.

Dalam memperincikan perkembangan penggubalan RUU tersebut, Azalina berkata syor dasar yang disediakan merangkumi skop pemakaian undang-undang, sumber dan had sumbangan, mekanisme penerimaan dana, serta keperluan pelaporan, audit dan ketelusan.

Penetapan kesalahan dan hukuman turut menjadi sebahagian daripada perkara yang dipertimbangkan dalam pembentukan kerangka perundangan itu.

“Berdasarkan dapatan kajian, sesi libat urus dan proses triangulasi yang dilaksanakan, beberapa syor dasar telah disediakan untuk pertimbangan dalam penggubalan RUU Pendanaan Politik,” katanya.

Beliau berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan Konvensyen Pendanaan Politik 2026 pada 8 September lalu dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Konvensyen itu menjadi wadah untuk membentangkan dapatan kajian serta mendapatkan pandangan lanjut pihak berkepentingan bagi memperincikan cadangan dasar berkenaan.

Azalina turut menjelaskan bahawa cadangan mewajibkan pelaporan berkala, audit dan pendedahan maklumat kepada umum, disertai kesalahan serta penalti yang bersesuaian, dapat membantu memastikan semua pihak tertakluk kepada peraturan yang sama.

Menerusi mekanisme tersebut, setiap pihak juga dapat dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku pelanggaran terhadap peraturan pendanaan politik.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال