Usaha memisahkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen, dengan kesepakatan rentas parti menjadi asas penting supaya reformasi itu diterima sebagai kepentingan bersama dan bukannya agenda mana-mana parti politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato' Sri Azalina Othman Said berkata, pembaharuan itu perlu melangkaui kepentingan politik bagi mengelakkan proses pendakwaan dipersoalkan sebagai bermotif politik setiap kali berlaku pertukaran kerajaan.
Menurutnya, manfaat pemisahan peranan berkenaan turut melibatkan parti dan ahli politik sendiri, terutama apabila perubahan kepimpinan negara meletakkan mereka dalam kedudukan politik yang berbeza.
“Kita tidak mahu apabila berlaku pilihan raya dan pertukaran kerajaan, tiba-tiba apabila seseorang didakwa, timbul dakwaan bahawa ia adalah pendakwaan politik.
“Sebab itu, jika kita melaksanakannya sekarang, ia akan membawa lebih banyak manfaat kepada parti dan ahli politik, bukan kemudaratan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Asian Insolvency Reform Forum 2026.
Bagi membolehkan pemisahan tersebut diluluskan, sokongan sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen diperlukan, bersamaan majoriti dua pertiga daripada keseluruhan 222 ahli Dewan Rakyat.
Azalina berkata, sokongan yang melebihi jumlah itu akan menjadi isyarat positif bahawa ahli politik mengiktiraf keperluan reformasi berkenaan dan menyedari pemisahan kedua-dua peranan itu wajar dilaksanakan demi masa depan politik negara.
Terdahulu, rang undang-undang (RUU) bagi memisahkan kedua-dua peranan itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu.
Bagaimanapun, pembentangan berkenaan menerima pelbagai pandangan serta bantahan daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
RUU itu kemudian dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian lanjut sebelum beberapa cadangan pindaan baharu dirangka dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
Dalam perkembangan sama, Azalina berpandangan dua pindaan besar, iaitu pemisahan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya serta cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, wajar dimasukkan dalam Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).
“Saya tidak terbabit perjanjian itu, namun saya dimaklumkan bahawa CSA ini memberi fokus kepada dua pindaan berkenaan,” katanya.
Mengulas cadangan had tempoh jawatan Perdana Menteri, Azalina berkata, langkah itu baik untuk politik negara kerana memberikan ruang kepada kesinambungan kepimpinan dalam parti politik.
Beliau berpandangan ramai pemimpin mempunyai keupayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, sekali gus menekankan kepentingan membuka ruang kepada pergantian kepimpinan.
“Had tempoh 10 tahun ini bagus untuk politik sebab kesinambungan kepimpinan dalam parti politik,” katanya.
Tags
Berita

