Malaysia Hot

Azalina: Syarikat Kecil Berhutang Berpeluang Pulih, Mekanisme Baharu Dikaji Mulai 2027




Beban hutang tidak semestinya menamatkan masa depan syarikat kecil yang masih berdaya maju. Kerajaan akan mengkaji mekanisme penyusunan semula kewangan mulai 2027 bagi memberi ruang kepada perniagaan sedemikian untuk pulih dan meneruskan operasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said, berkata Jabatan Insolvensi akan meneliti model seumpama Chapter 11 di Amerika Syarikat.

Pendekatan itu bertujuan membantu syarikat yang bermasalah kewangan tetapi masih mempunyai aset dan potensi perniagaan untuk menyusun semula operasi serta kewajipan hutang tanpa perlu menghentikan perniagaan.

Menurutnya, peluang pemulihan itu perlu diseimbangkan dengan perlindungan kepentingan pemiutang dan usaha memelihara pekerjaan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Asian Insolvency Reform Forum 2026.

Azalina berkata, sebelum mekanisme berkenaan dapat dilaksanakan, Jabatan Insolvensi perlu meneliti lima aspek penambahbaikan berdasarkan realiti perundangan dan komersial Malaysia.

Penelitian itu merangkumi campur tangan lebih awal sebelum masalah kewangan menjadi tidak dapat dipulihkan, serta penyediaan mekanisme penstrukturan semula yang mudah diakses dan praktikal untuk perniagaan.

Tiga aspek lain ialah melindungi kepentingan sah pemiutang, memelihara pekerjaan, aset produktif dan hubungan perniagaan, serta memperkukuh keupayaan mahkamah, badan kawal selia dan pengamal insolvensi.

Pada masa sama, beliau menegaskan usaha menyelamatkan syarikat tidak boleh dijadikan alasan untuk melindungi mana-mana pihak daripada tindakan atau hukuman yang sewajarnya.

Prinsip akauntabiliti mesti kekal menjadi keutamaan, manakala hak sah pemiutang perlu dipelihara sepanjang proses penyusunan semula kewangan.

“Matlamat kita di Malaysia bukan untuk menyelamatkan setiap syarikat tanpa mengira kos, sebaliknya membezakan antara perniagaan yang masih berdaya maju dengan perniagaan yang memerlukan penyelesaian secara teratur,” katanya.

“Selamatkan jika boleh, susun semula jika berdaya maju dan selesaikan secara bertanggungjawab jika perlu,” katanya.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال