KUALA LUMPUR, 1 November — Kerjasama rentas parti melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) penting untuk membina kesepakatan di Parlimen bagi memajukan reformasi institusi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato' Sri Azalina Othman Said.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik sokongan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap pelaksanaan CSA serta cadangan beliau untuk memperluas kerjasama itu kepada lebih banyak parti pembangkang.
Beliau berkata, perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi halangan untuk bekerjasama demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat. Pendekatan itu juga akan membuka ruang kepada kesemua 218 Ahli Parlimen sedia ada untuk memainkan peranan dalam proses demokrasi berparlimen.
“Ini bagi memastikan suara rakyat yang diwakili oleh Ahli Parlimen masing-masing turut terlibat dalam menentukan hala tuju dan masa depan institusi negara melalui perbahasan dan pengundian di Parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Azalina berkata, reformasi itu merangkumi pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun. Langkah berkenaan memerlukan penelitian dan sokongan rentas parti kerana melibatkan kepentingan negara serta pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, pendekatan kerjasama seumpama itu pernah dilaksanakan ketika UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan pada penggal sebelum ini.
Azalina berkata, sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) akan terus memainkan peranan yang membina dalam memelihara kestabilan politik, memperkukuh institusi demokrasi dan memastikan pentadbiran negara berfungsi dengan berkesan demi kepentingan rakyat.
Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyifatkan CSA sebagai perkembangan positif dalam menangani dan menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat.
Khamis lalu, Kerajaan MADANI menandatangani CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta tujuh lagi Ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Pada hari yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian itu bertujuan memastikan kesinambungan pentadbiran kerajaan serta pelaksanaan agenda pembangunan negara, termasuk Belanjawan 2027, secara berkesan demi kepentingan rakyat.
Tags
Berita

