Malaysia Hot

Banjir: Titah Sultan Selangor Bagaikan Mencurah Air Ke Daun Keladi


Jambatan di jalan utama Kampung Kubu Gajah runtuh selepas banjir merosakkan tebing sungai. Laluan utama ke Kampung Paya Jaras Hilir ditutup. Setakat pukul 11.30 malam pada 5 November 2026, sembilan pusat pemindahan sementara di Selangor menempatkan 1,120 mangsa daripada 284 keluarga.

Lebih enam bulan sebelum itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sudah mempersoalkan mengapa kawasan perumahan terus dinaiki air walaupun peruntukan disediakan setiap tahun. Dalam titah pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 April 2026, baginda kembali mengibaratkan nasihat mengenai banjir seperti “mencurah air ke daun keladi”. Baginda pernah menggunakan peribahasa yang sama ketika menegur masalah itu di Klang pada Disember 2024.

Ketika banjir besar Disember 2021, baginda menitahkan Lembaga Zakat Selangor segera membantu mangsa dan menggesa pelan tindak balas bencana dikemas kini. Pada 14 Mac 2022, baginda mengimbas banjir besar 1971 sambil menyarankan sungai dilebarkan dan didalamkan, saliran diperbaik serta pintu air dibina di lokasi penting.


Pada istiadat angkat sumpah Exco Ogos 2023, baginda mempersoalkan apa ertinya Selangor mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi jika masalah asas seperti banjir masih gagal diurus. Pada Februari 2024, baginda mengingatkan pihak berkuasa Klang tentang risiko hujan lebat bertembung dengan air pasang besar. Dalam titah DUN bulan itu, baginda membangkitkan kelewatan projek tebatan ketika menegur kerenah birokrasi.

Ketika merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang pada Disember 2024, baginda mempersoalkan alasan hujan luar biasa. Baginda mahu kerajaan menyediakan pelan menyeluruh, menubuhkan pasukan khas serta menggantikan kontraktor yang gagal melaksanakan projek. Pada Februari 2025, baginda menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan mempercepat rancangan tebatan yang dianggarkan bernilai RM1.774 bilion. Dalam perutusan Tahun Baharu pada 29 Disember 2025, baginda meletakkan sasaran sifar banjir.

Dalam titah April 2026, baginda sekali lagi menyarankan Selangor merujuk pakar Belanda. Pasukan pakar yang dirujuk kerajaan Malaysia selepas banjir besar 2021 tiba pada Ogos 2022 dan menyerahkan laporan pada Disember tahun itu. Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri sudah berhubung dengan pihak Belanda sejak 2025. Pada Mei 2026, beliau merujuk kajian kes Sabak Bernam mengenai pemuliharaan pesisir dan teknologi untuk melengkapi pembinaan benteng. Kerajaan negeri perlu menyatakan syor yang sudah dilaksanakan, lokasi kerja dan kesannya kepada penduduk.

Bagaikan ada yang tidak kena dengan kerajaan PH-DAP Selangor yang sudah hampir 20 tahun memeritah Selangor.

Amirudin perlu menjawab sebelum hujan lebat seterusnya. Jika keluarga di kawasan yang sama sekali lagi terpaksa bermalam di pusat pemindahan, berapa kali lagi Tuanku perlu bertitah?



Previous Post Next Post

نموذج الاتصال