Malaysia Hot

Malaysia akan kaji rangka kerja penyelamatan korporat berpandukan 'Bab 11 AS' - Azalina


KUALA LUMPUR — Malaysia akan mengkaji mekanisme penyelamatan korporat dan pemulihan perniagaan dengan mengambil pengajaran daripada rangka kerja Bab 11 (Chapter 11) Amerika Syarikat (AS) sebagai langkah seterusnya dalam agenda reformasi insolvensi negara, kata Dato' Sri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata penggulungan syarikat yang terlalu awal sering menyebabkan kehilangan pekerjaan, mengganggu rantaian bekalan dan memusnahkan nilai ekonomi yang masih boleh diselamatkan melalui penstrukturan semula hutang.

“Syarikat yang tidak mampu membayar hutangnya hari ini mungkin masih mempunyai masa depan dari segi ekonomi.

“Sesetengah perniagaan yang menghadapi kesukaran kewangan mungkin masih mempunyai produk bernilai, pekerja berpengalaman, pelanggan tetap dan aset produktif,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Reformasi Insolvensi Asia (FAIR) 2026 di sini pada Rabu.

Azalina menggariskan lima keutamaan reformasi, iaitu menggalakkan campur tangan awal sebelum keadaan kewangan tidak lagi dapat dipulihkan, menyediakan mekanisme penstrukturan semula yang praktikal dari sudut komersial, melindungi hak sah pemiutang, mengekalkan pekerjaan dan aset produktif serta memperkukuh keupayaan mahkamah dan institusi.

“Saya ingin menegaskan bahawa penyelamatan korporat sama sekali tidak boleh memberikan kekebalan kepada syarikat. Akauntabiliti mesti kekal sebagai teras dan hak sah pemiutang mesti dilindungi.

“Matlamat kami ialah membezakan perniagaan yang masih berdaya maju daripada perniagaan yang memerlukan penyelesaian secara teratur. Kami tidak berhasrat menyelamatkan setiap syarikat walau apa pun kosnya. Oleh itu, kita mesti berpegang pada prinsip ini. Selamatkan jika boleh. Strukturkan semula jika berdaya maju. Selesaikan secara bertanggungjawab jika perlu,” tegasnya.

Ketika ditemui pemberita selepas ucaptama itu, Azalina berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Insolvensi Malaysia supaya menilai rangka kerja yang boleh dilaksanakan khusus bagi perniagaan kecil yang dibebani hutang berlebihan.

“Dalam ucapan tadi, saya menyebut bahawa Jabatan Insolvensi perlu meneliti keadaan syarikat tahun depan. Tumpuannya ialah memulihkan syarikat tanpa menggulungnya, menerusi pendekatan yang serupa dengan Bab 11 di Amerika Syarikat. Dengan kata lain, satu sistem pemulihan tersendiri akan diwujudkan,” katanya.

Azalina berkata perniagaan kecil sering terbantut akibat beban hutang walaupun masih memiliki aset bernilai.

“Ada kalanya pengusaha kecil tidak menyedari bahawa perniagaan mereka memiliki aset bernilai. Namun, beban hutang yang tinggi menyebabkan aset itu tidak dapat dijual, sekali gus menghalang mereka daripada meneruskan operasi perniagaan.

“Perkara ini akan menjadi tumpuan tahun depan dan saya telah mengarahkan jabatan itu supaya mengkajinya,” katanya.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال