Apabila seseorang tampil menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat, masyarakat berhak meneliti bukan sahaja manifesto dan janji politiknya, malah persoalan berkaitan integriti serta kelayakan undang-undangnya.
Nama Datuk Azman Abidin sebagai calon Pakatan Harapan bagi kerusi DUN Paya Rumput dikatakan pernah diistihar muflis sebanyak dua kali?
Ini bukan soal menyerang peribadi lantaran musim kempen. Ini soal ketelusan dan integriti seorang calon yang mahu diberikan mandat oleh rakyat.
Jika benar, kenapa sampai dua kali? Kebiasaan yang didengar hanya sekali sahaja.
Malah ada suara dari bilik gerakan bandaraya, nama Azman juga terpalit di dalam kontroversi projek DBKL bernilai RM4 juta pada 2025.
Pada 28 Januari 2025, FMT melaporkan Azman menafikan kaitannya dengan dakwaan salah laku penganugerahan projek DBKL. Hantaran media sosial mendakwa beliau mengetahui projek yang dikaitkan dengan ahli lembaga penasihat DBKL, Afdlin Shauki.
Pemimpin BERSAMA, Lee Chean Chung pula meminta Azman menjelaskan sumber pembiayaan program Minggu Melaka Ceria yang berlangsung pada 19 hingga 25 Oktober. Lee mempersoalkan hadiah cabutan bertuah yang menurut bahan promosi merangkumi 14 motosikal dan 100 telefon pintar, serta menggesa SPRM dan SPR meneliti sumber dana, penaja dan peranan Azman.
Azman wajar tampil menjelaskan dakwaan pernah muflis, isu berkaitan projek DBKL serta sumber pembiayaan dan peranannya dalam program Minggu Melaka Ceria.

