Ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sedang berlangsung, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak turut dibubarkan. Yang mengejutkan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat mengikuti jejak UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Melaka apabila memilih untuk tidak bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Harapan (PH) pimpinan DAP.
Menurut jurucakap Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abdul Karim Rahman Hamzah, gabungan itu akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN Sarawak serta menganggap parti seperti PKR dan DAP sebagai pembangkang.
Sehingga artikel ini ditulis, DAP dilihat masih menikus berhubung pendirian tersebut. Belum kedengaran desakan supaya GPS keluar daripada kerajaan pusat, sebagaimana desakan yang pernah ditujukan kepada pemimpin UMNO dan parti komponen BN.
Walaupun GPS secara terbuka meletakkan PKR dan DAP sebagai lawan politik di Sarawak, DAP dilihat tidak berani mengambil pendirian yang sama terhadap gabungan itu. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang konsistensi DAP dalam menilai rakan Kerajaan Perpaduan.
Lebih mengejutkan, kelantangan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, juga seolah-olah tenggelam apabila membabitkan pendirian GPS.
Sebelum ini, beliau begitu lantang menyerang Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan mempersoalkan sama ada Zahid cuba mensabotaj Kerajaan MADANI.
Pertikaian itu tercetus selepas Zahid secara terbuka mendedahkan pembatalan atau penangguhan projek pembangunan luar bandar bagi tahun 2026 di Sabah dan Sarawak yang, menurutnya, dibuat atas arahan Ketua Setiausaha.
Dari sudut pemerhatian politik, ketegangan ini dilihat sebenarnya berpunca daripada ketidakpuasan hati DAP terhadap keputusan BN untuk tidak bekerjasama dengan PH pada PRN Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan kini Melaka. Isu pendedahan Ahmad Zahid berkaitan masalah projek di Sabah dan Sarawak hanyalah ‘alat pencetus’ untuk mencari alasan menyerang UMNO Barisan Nasional.
Pakatan Harapan pimpinan DAP mengalami kekalahan teruk dalam kesemua pilihan raya negeri tersebut, termasuk DAP yang kehilangan kesemua kerusi yang ditandinginya di Sabah. Di sinilah antara faktor utama DAP tidak mampu untuk sembunyikan lagi kemarahan dan kekecewaan mereka.
Namun, apabila GPS memilih haluan yang serupa di Sarawak, keangkuhan yang pernah ditunjukkan terhadap UMNO dan BN tidak lagi kedengaran. Semuanya sepi, termasuk Anwar.
Mungkin ahli-ahli DAP juga sedang menunggu Anthony Loke bersuara atau mungkin adalah lebih baik DAP yang keluar dari Kerajaan Madani seperti yang mereka sentiasa ugut sebelum ini apabila ada perkara yang tidak kena dengan selera nafsu mereka.

.png)