Hubungan rapat dengan Putrajaya menjadi antara tawaran PH dalam kempen Melaka. Anwar Ibrahim sendiri menggunakan pendekatan kempen yang boleh dianggap murahan apabila meminta pengundi memilih wakil rakyat yang mempunyai “direct line atau kabel” ke pejabat Perdana Menteri.
Seolah-olah membawa mesej kempen yang diselaraskan, Kamil Munim, setiausaha politik kepada Anwar, turut menekankan kepentingan kerajaan negeri dan Persekutuan bergerak seiring.
“Harus ada pemimpin yang seiring dengan pendirian kerajaan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Dalam kenyataan berkaitan usaha menangani masalah setempat, beliau turut berkata, “Saya sendiri akan bercakap dengan Perdana Menteri.” Bagi pemerhati politik, ini adalah kempen yang paling teruk pernah Anwar dan pasukannya keluarkan."Politik kabel".
Anwar dan kumpulannya kelihatan begitu yakin dengan janji tersebut. Namun, perkembangan sehari dua ini memperlihatkan tekanan yang sedang dihadapi pentadbiran mereka.
Keputusan Peguam Negara menangguhkan pemindahan Najib Razak ke tahanan rumah, walaupun denda RM50 juta sudah dibayar, mengundang kemarahan penyokong Najib serta pemimpin dan ahli UMNO.
Peguam Najib turut membantah penangguhan itu. Mereka mempersoalkan mengapa isu tafsiran undang-undang hanya dibangkitkan selepas denda dijelaskan, sedangkan syarat pengampunan sudah diumumkan kira-kira tujuh minggu sebelumnya.
Tekanan terhadap Anwar bertambah apabila Istana Negara pada 7 November menegaskan bahawa perintah pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong adalah jelas dan mesti dihormati. Anwar kemudian meminta Peguam Negara menghadap Tuanku untuk memohon ampun serta menjelaskan persoalan perundangan yang timbul.
Pertikaian itu mencetuskan tuduhan penderhakaan terhadap Peguam Negara, yang turut memberi tempias politik kepada Anwar sebagai ketua kerajaan. Walaupun belum dapat dipastikan bahawa Anwar sendiri mengarahkan penangguhan tersebut namun keberadaan Peguam Negara secara langsung di bawah Perdana Menteri, persepsi sudah terbentuk.
Kesan politiknya tidak terhenti di situ. Beberapa pemimpin UMNO di Johor membuat laporan polis, sementara Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, menggesa tindakan serupa di seluruh negara. Pemimpin UMNO kini perlu menjawab kemarahan penyokong ketika parti itu masih menjadi sebahagian daripada pentadbiran Anwar.
Dari arah lain, Anthony Loke menegaskan bahawa beliau akan melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan apabila Najib mula menjalani tahanan rumah. DAP bagaimanapun memutuskan bahawa menteri-menteri lain akan kekal dalam Kabinet.
Keputusan itu memperlihatkan bantahan DAP sambil mengekalkan kedudukannya dalam kerajaan. Pendekatan tersebut boleh mengundang tanggapan bahawa tindakan itu sekadar percaturan politik Pakatan Harapan, khususnya dalam kalangan pengkritik yang melihat DAP mempunyai pengaruh besar dalam gabungan berkenaan.
Pendirian Gabungan Parti Sarawak turut memperlihatkan batas kerjasama GPS dengan PH. Ketua Jurucakap GPS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, menegaskan bahawa gabungan itu akan bertanding sendiri di kesemua 82 kerusi DUN Sarawak. PKR, DAP dan Amanah tetap dianggap sebagai lawan dalam pilihan raya negeri.
Penolakan kerjasama pilihan raya di Sarawak itu menunjukkan bahawa hubungan di Putrajaya tidak menjamin kesepakatan dalam semua urusan politik.
Nasib Anwar, DAP dan PH untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang masih mengundang persoalan. Jika hubungan sesama rakan kerajaan terus bergolak, “kabel” yang dijanjikan ketika kempen boleh kedengaran seperti tin kosong.

