TANGGA BATU - Didakwa pernah dua kali muflis, Datuk Azman Abidin enggan mengulas spekulasi yang bertebaran di media sosial sambil menganggapnya sebagai serangan menjelang pilihan raya.
Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Paya Rumput itu juga mencabar pihak yang membuat dakwaan agar menjelaskan sendiri tuduhan dilemparkan.
Selain isu muflis, Azman juga dikaitkan dengan isu pemberian cabutan bertuah bernilai ratusan ribu ringgit serta agihan wang tunai RM200 kepada pengundi Paya Rumput.
DATUK Azman Abidin mendakwa tuduhan muflis dan pengagihan wang kepada pengundi Paya Rumput adalah serangan pilihan raya terhadap dirinya.
"Saya rasa biarlah dia (pihak yang menuduh) sendiri jelaskan tuduhan yang dilemparkan kepada saya, bagi duit kat orang.
"Fitnah dalam politik dekat-dekat nak pilihan raya biar dia jelaskan.
"(Mengenai tuduhan muflis) saya tak nak komen, biarlah orang sendiri menilai saya.
"Fokus saya nak kempen, memujuk pengundi-pengundi Paya Rumput kerana yang penting pada akhirnya saya kena servis orang," katanya ketika ditemui pada program Klinik Bola Sepak Bebas Palestin anjuran Sahabat Madani di Tangga Batu, hari ini.
Ditanya tentang dakwaan bekas pemimpin PKR yang kini pemimpin parti Bersama, Lee Chean Chung mengenai pengagihan wang tunai RM200 kepada penduduk di Paya Rumput, Azman berkata, Bersama hadir di PRN Melaka dengan satu tujuan, mengganggu PH.
"Itu kerja dia. Dia tak ada kerja kerana kita tahu Bersama berkempen bukan untuk menang. Dia berkempen untuk mengalahkan PH, dia bukan berkempen untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Sementara itu, Azman juga percaya, keputusan BN tidak meletakkan calon di Paya Rumput bagi memberi laluan kepada Perikatan Nasional (PN) memberi kelebihan kepada PH.
Beliau mendakwa, biarpun kerjasama BN-PN dilihat menguatkan sokongan pengundi Melayu, namun hakikatnya tidak semua pengundi Melaka menerima PAS.
"Sejarahnya di Melaka ini penerimaan orang Melaka terhadap PAS memang sangat kurang.
"Dia (PAS) terpaksa mencari rakan struktur yang boleh beri sokongan kepada mereka.
"BN kita tahu sebuah parti yang besar. Biasanya persaingan sengit itu di antara BN dengan PH.
"Kita harap orang Melaka dapat bezakan antara Perikatan Nasional dan juga Barisan Nasional. Ya Perikatan Nasional ini adalah PAS," ujarnya.
BN memenangi DUN Paya Rumput pada PRN Melaka 2021 menerusi Datuk Rais Yasin dengan kemenangan tipis 629 undi mengatasi calon PH, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin .
Pada PRN Melaka kali ini, Azman akan dicabar oleh calon PN, Rafie Ahmad dan calon Bersama, Abdul Rashid Abu Bakar.

