Melihat kepada perkembangan mutakhir Perikatan Nasional semalam, siapa sebenarnya yang tiba-tiba muncul mengawal arah tuju gabungan itu hari ini?
Jawapan rasmi mungkin mudah. PAS ialah parti terbesar. Tan Sri Abdul Hadi Awang merupakan Presiden PAS. Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar adalah Pengerusi PN. Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula diberikan tanggungjawab penting sebagai Pengarah Pilihan Raya PN.
Namun politik tidak pernah bergerak mengikut carta organisasi semata-mata.
Politik bergerak mengikut siapa yang mampu mempengaruhi keputusan. Politik bergerak mengikut siapa yang menentukan hasil akhir. Politik bergerak mengikut siapa yang memperoleh kemenangan apabila sesuatu pertarungan kuasa berakhir. Dan paling penting, keputusan politik juga mengikut arah angin jutaan Ringgit yang ditawarkan.
Sebab itu perkembangan mutakhir dalam PN menimbulkan lebih banyak persoalan terutama kenapa Annuar Musa tiba-tiba muncul dan membuat kenyataan tentang pembahagian kerusi kepada Bersatu.
Tidak masuk akal, Annuar Musa muncul di ibu pejabat Perikatan Nasional dan mengumumkan bahawa rundingan pembahagian kerusi antara PAS dan Bersatu telah selesai. Ramai mungkin melihatnya sebagai satu kenyataan biasa. Namun bagi mereka yang memahami bagaimana struktur kuasa politik berfungsi, persoalan yang timbul jauh lebih besar daripada isi kenyataan tersebut.
Mengapa Annuar Musa yang membuat pengumuman itu?
Mengapa bukan Samsuri?
Mengapa bukan Sanusi?
Dan mana Hadi Awang
Mengapa bukan Presiden PAS sendiri yang selama ini sering menjadi rujukan utama dalam keputusan-keputusan besar melibatkan gabungan pembangkang?
Dalam politik, siapa yang bercakap selalunya lebih penting daripada apa yang diperkatakan.
Apabila seorang individu yang tidak memegang jawatan tertinggi dalam PAS, tidak memegang jawatan tertinggi dalam Bersatu dan tidak memegang jawatan tertinggi dalam PN tampil mengumumkan penyelesaian isu paling penting menjelang pilihan raya, ia secara semula jadi mengundang tanda tanya mengenai kedudukan sebenar beliau dalam struktur kuasa gabungan tersebut.
Peristiwa itu mungkin kelihatan kecil.
Namun dalam politik, peristiwa kecil sering mendedahkan realiti yang lebih besar.
Lebih menarik, episod tersebut berlaku ketika pelbagai pihak sedang bercakap mengenai kemunculan ‘kuasa penyatuan Melayu’. Annuar seolah cuba halang dari ianya berlaku dan menurut sumber, Annuar masih ‘budak’ Muhyiddin.
Annuar dikatakan bertindak apabila merasakan kedudukan Samsuri masih belum sah sebagai Pengerusi PN melalui dokumentasi keabsahan R.O.S?
Malah sumber juga mengatakan kumpulan Takiyuddin-Samsuri-Sanusi bakal diketepikan oleh kumpulan Annuar Musa-Muhyiddin bermula dengan Pilihanraya Negeri Johor dan mangsa pertama mereka adalah Hamzah Zainuddin.
Tambah sumber, semuanya kerana ada dana politik yang besar bakal dibawa masuk ke dalam tabung milo.

