Malaysia Hot

£160 Juta Itu Hotel Mana, PMX?


Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa beliau enggan meluluskan penjualan sebuah hotel milik FELDA di London, kenyataan itu memang menarik perhatian. Menurut beliau, pengurusan FELDA datang mendapatkan kelulusan untuk menjual hotel berkenaan pada harga sekitar £100 juta, sedangkan aset itu dikatakan dibeli pada harga £160 juta. 

Jika benar sebuah hotel dibeli pada £160 juta dan mahu dilepaskan pada £100 juta tanpa alasan komersial yang kukuh, memang wajar Perdana Menteri menekan brek. Beza £60 juta bukan jumlah kecil, apatah lagi apabila melibatkan aset institusi yang berkait rapat dengan kepentingan peneroka.

Namun selepas kenyataan itu dibuat, timbul satu persoalan, hotel mana sebenarnya yang dimaksudkan?

Bekas Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang hanya meninggalkan jawatan pada penghujung Jun lalu, tampil menyatakan bahawa sepanjang beliau menerajui FELDA, tidak pernah ada permohonan untuk menjual mana-mana hotel FELDA di London. Beliau turut menjelaskan bahawa FELDA mempunyai empat hartanah di sana, terdiri daripada dua hotel dan dua penginapan pelajar dan setahunya tidak ada satu pun daripada aset tersebut dibeli secara tunggal pada harga £160 juta.

Kenyataan itu menjadikan kronologi isu ini semakin menarik. Jika cadangan penjualan tersebut dikatakan dibawa kepada Perdana Menteri sekitar dua bulan lalu, tempoh itu hampir bertindih dengan penghujung era Shabery sebagai Pengerusi FELDA. Maka bila sebenarnya proposal penjualan itu bermula, siapa yang memulakannya dan pada peringkat mana ia diproses?

Semakan terhadap rekod pembelian aset FELDA di London bagaimanapun membuka persoalan baharu mengenai dari mana datangnya angka £160 juta tersebut.

Grand Plaza Serviced Apartments di Bayswater dilaporkan dibeli pada 2013 pada harga sekitar £98 juta, manakala Grand Plaza Kensington Hotel pula diperoleh pada 2014 pada harga sekitar £60 juta. Jika kedua-dua angka itu dicampurkan, jumlahnya menjadi £158 juta, hampir sama dengan angka £160 juta yang disebut oleh Perdana Menteri.

Sudah tentu persamaan angka itu belum membuktikan bahawa maklumat yang diterima PMX adalah salah. Mungkin terdapat kos lain, penilaian tertentu atau aset berbeza yang belum dijelaskan kepada umum. Namun adakah £160 juta itu benar-benar harga pembelian sebuah hotel atau sebenarnya angka yang merujuk kepada gabungan lebih daripada satu aset FELDA di London?

Perbezaannya bukan kecil. Jika sebuah hotel benar-benar dibeli pada £160 juta dan mahu dijual pada £100 juta, rakyat berhak mengetahui mengapa FELDA sanggup menerima potensi susut nilai £60 juta. Justeru jika angka £160 juta sebenarnya mewakili lebih daripada satu hartanah, sedangkan hanya satu aset mahu dijual pada £100 juta, maka gambaran yang dibawa kepada rakyat berubah sama sekali.

Shabery juga menyatakan bahawa proses pelupusan aset FELDA bukan keputusan yang dibuat secara bersendirian oleh pengurusan. Menurut beliau, urusan seperti itu turut melibatkan arahan dan pertimbangan di peringkat kerajaan, termasuk Kementerian Kewangan dan struktur penasihat kerajaan. Jika begitu, persoalan mengenai siapa yang mencadangkan penjualan tersebut menjadi semakin penting.

Jadi, tidak perlu isu ini dibiarkan menjadi teka-teki. FELDA dan kerajaan hanya perlu menjawab beberapa perkara iaitu apakah nama hotel yang hendak dijual, berapa harga pembelian asalnya, siapa membuat penilaian £100 juta, berapakah nilai pasaran semasanya, bila cadangan penjualan dimulakan dan bagaimana angka £160 juta diperoleh.

FELDA memang mempunyai sejarah kontroversi berkaitan pembelian hartanah di London. Maka sebaiknya pentadbiran hari ini sepatutnya lebih berhati-hati apabila menggunakan angka besar dalam ucapan awam. Ketepatan fakta penting kerana satu angka yang tersalah konteks boleh mengubah keseluruhan persepsi rakyat terhadap sesuatu transaksi.

PMX sendiri memilih untuk membawa perkara ini kepada pengetahuan umum dengan nada keras, mempersoalkan bagaimana sesuatu aset boleh dibeli mahal tetapi mahu dijual lebih murah. Tidak salah. Malah rakyat juga mahu tahu perkara yang sama.

Cuma apabila angka £160 juta lawan £100 juta sudah disebut di hadapan rakyat, ceritanya tidak boleh berhenti pada ungkapan “meniaga apa macam ni?”.

Bentangkan faktanya. Namakan hotelnya. Jelaskan kronologinya kerana selepas kenyataan bekas Pengerusi FELDA, persoalannya kini bukan sekadar mengapa sebuah hotel mahu dijual lebih murah.

Persoalannya ialah £160 juta itu sebenarnya harga hotel yang mana?
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال