Malaysia Hot

Haaland mahu Norway nikmati perjalanan di Piala Dunia


EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Erling Haaland menggesa Norway supaya menikmati perjalanan mereka pada Piala Dunia selepas sekali lagi meledak dua gol ketika menewaskan Senegal 3-2 untuk mara ke pusingan seterusnya hari ini.

Dua jaringan itu membolehkan Haaland mengumpul empat gol, seiring dengan Kylian Mbappe dan hanya satu gol di belakang Lionel Messi, manakala Norway mengiringi Perancis dengan enam mata di puncak Kumpulan I menjelang pertemuan penentuan juara kumpulan.

Apabila ditanya mengenai pertemuan dengan Perancis, Haaland memberi jawapan jujur.

"Saya tidak peduli, kami sudah layak," katanya kepada wartawan.

Apabila ditanya sama ada ini boleh menjadi Piala Dunia miliknya, penyerang Manchester City itu berkata: "Bergantung kepada apa maksud anda. Untuk layak buat kali pertama dalam 28 tahun dan mara dari kumpulan, ya, saya rasa begitu."

"Tetapi untuk memenangi Piala Dunia, tidak sama sekali. Kami perlu realistik dan kami patut gembira, setiap rakyat Norway di seluruh dunia hari ini."

Kemeriahan kem Norway jelas kelihatan sebelum sepak mula apabila penyokong mereka berkumpul di Times Square dan memperkenalkan sambutan 'dayung Viking' yang turut dilakukan pemain di tengah padang selepas kemenangan.

"Ia sesuatu yang gila," kata Haaland, 25.

"Saya dan Martin Odegaard berbincang sebelum perlawanan sama ada perlu ikut sambutan itu jika semuanya berjalan baik dan ia berlaku. Jadi ia detik istimewa untuk seluruh Norway.

"Ia antara malam terbesar dalam hidup saya. Saya rasa sama seperti selepas final Liga Juara-Juara 2023. Saya amat bangga.

"Saya mahu capai lebih banyak kejayaan bersama Norway. Saya mahu layak ke Piala Dunia, Euro dan segalanya. Piala Dunia adalah pentas terbesar. Ia sangat hebat." – REUTERS
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال