Malaysia Hot

RCI Sudah Beri Amaran, Mengapa RM12.5 Bilion UJSB Masih Tidak Dibayar?


Saya mahu kerajaan menjawab satu perkara yang mudah. Pada 29 Mei 2026, Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. sepatutnya melunaskan sukuk siri pertama bernilai RM12.5 bilion kepada Tabung Haji. Adakah wang itu telah dibayar?

Jawapannya belum.

UJSB hanya memulangkan dua aset yang dianggarkan bernilai hampir RM1 bilion. Baki sekitar RM11.5 bilion tidak dilunaskan, sebaliknya dilanjutkan lagi selama 10 tahun.

Hutang yang sepatutnya dibayar pada 2026 kini ditangguhkan sehingga 2036.

Jangan namakan penangguhan sebagai penyelesaian.

Istilah roll over mungkin kedengaran teknikal dan meyakinkan. Maksudnya mudah. Wang yang sepatutnya dibayar hari ini tidak dibayar dan tarikh baharu diberikan untuk masa hadapan.

Tabung Haji sudah menunggu selama tujuh tahun. Kini institusi itu diminta menunggu satu dekad lagi untuk menerima wang yang sepatutnya sudah berada dalam akaunnya.

Perkara ini menjadi lebih serius kerana kerajaan tidak boleh mendakwa ia berlaku tanpa amaran.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Tabung Haji telah mengingatkan lebih awal tentang risiko sekiranya sukuk UJSB gagal dilunaskan mengikut tempoh matang. RCI turut memberi amaran bahawa kegagalan tersebut boleh meletakkan Tabung Haji dalam masalah kewangan yang besar serta menjejaskan ekosistem kewangannya.

Amaran itu telah ditulis dan diserahkan secara rasmi kepada kerajaan.

Kerajaan mempunyai masa sekitar tiga tahun untuk membaca laporan tersebut, menilai kemampuan UJSB dan menyediakan dana bagi memenuhi obligasi yang bakal matang.

Apabila 29 Mei 2026 tiba, wang RM12.5 bilion itu masih tidak dibayar.

Di manakah pelan pembayaran yang sepatutnya disediakan?

Mengapa kerajaan menunggu sehingga tarikh matang sebelum memutuskan untuk melanjutkan hutang selama 10 tahun lagi?

Siapakah yang menilai kemampuan UJSB untuk membayar semula baki RM11.5 bilion pada 2036?

Perdana Menteri sepatutnya datang sendiri ke Parlimen dan membentangkan kedudukan sebenar UJSB. Isu sebesar ini tidak boleh diselesaikan melalui jawapan ringkas atau istilah kewangan yang sukar difahami rakyat.

Parlimen perlu diberitahu sebab bayaran gagal dibuat, struktur sukuk baharu yang menggantikan sukuk lama, jaminan kerajaan yang terlibat dan sumber pembayaran sepanjang tempoh 10 tahun akan datang.

Perbandingan dengan angka RM4.1 bilion juga tidak boleh dielakkan.

Apabila defisit RM4.1 bilion dibangkitkan dahulu, kerajaan bertindak seolah-olah seluruh Tabung Haji berada dalam keadaan darurat. Semakan PricewaterhouseCoopers dijadikan asas kepada dakwaan tentang kedudukan sebenar institusi itu. RCI kemudian ditubuhkan dan isu tersebut digunakan berulang kali sebagai bahan politik.

Kini RM12.5 bilion tidak dilunaskan pada tarikh matang.

Mengapa kegagalan yang melibatkan jumlah tiga kali lebih besar tidak dibahaskan dengan kesungguhan yang sama?

RCI bukan dokumen yang boleh dipetik mengikut selera.

Kerajaan tidak boleh hanya menggunakan bahagian yang menyentuh pengurusan Tabung Haji sebelum 2018 untuk menyerang pihak terdahulu, kemudian berdiam diri apabila laporan sama memberi amaran mengenai kelemahan pelan pemulihan dan risiko sukuk UJSB.

Jika kerajaan mahu RCI dihormati, hormatilah keseluruhan laporannya.

Keadaan ini turut menimbulkan persoalan tentang perbezaan antara pendapatan di atas kertas dengan wang tunai yang benar-benar diterima oleh Tabung Haji.

Pendapatan daripada sukuk boleh diakru dan dicatat dalam penyata kewangan pada setiap tahun. Catatan tersebut belum bermakna wang sebenar telah masuk ke dalam akaun Tabung Haji.

Angka terakru mungkin kelihatan cantik dalam penyata kewangan. Ia tidak boleh menggantikan wang tunai yang diperlukan untuk mengurus operasi dan memenuhi tanggungjawab kepada pendeposit.

Struktur sukuk siri pertama yang bersifat zero coupon pula menyebabkan Tabung Haji perlu menunggu sehingga tarikh matang untuk membuat penebusan. Selepas penantian selama tujuh tahun, tarikh pembayaran itu kini dipanjangkan lagi selama 10 tahun.

Apakah jaminannya perkara sama tidak akan berulang pada 2036?

Kerajaan perlu segera membentangkan kedudukan kewangan sebenar UJSB, struktur pelanjutan sukuk, jadual pembayaran tahunan serta jaminan yang memastikan Tabung Haji menerima keseluruhan wangnya.

Parlimen juga perlu diberikan ruang untuk meneliti keputusan tersebut secara terbuka.

UJSB bukan isu teknikal semata-mata. Ia melibatkan kemampuan sebuah syarikat milik kerajaan memenuhi hutangnya kepada institusi yang mengurus simpanan umat Islam.

Tabung Haji tidak sepatutnya menjadi tempat kerajaan memindahkan beban, mencantikkan angka dan menangguhkan masalah kepada generasi pentadbiran seterusnya.

Umat Islam menyimpan wang sebenar di Tabung Haji.

Mereka tidak sepatutnya dibayar dengan janji di atas kertas yang sentiasa diberikan tarikh baharu.

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama



Previous Post Next Post

نموذج الاتصال