EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Ketua jurulatih Norway, Stale Solbakken memuji Erling Haaland selepas penyerang itu meledak dua gol untuk membantu kemenangan 3-2 ke atas Senegal sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 32 terakhir Piala Dunia.
Kapten Martin Odegaard membantu Haaland meledak gol kedua pada minit ke-48, sebelum penyerang itu menambah gol kedua untuk menjadikan kedudukan 3-1, namun beberapa peluang terhidang turut dilepaskan yang menyaksikan Senegal memberi tekanan pada lewat permainan.
"Baiklah, dia juga terlepas gol terbuka hari ini, malah dia boleh menjaringkan empat gol," kata Solbakken secara berseloroh.
"Tidak, dia adalah penyerang terbaik - dia bukan bermain untuk Perancis atau Argentina, dia menjaringkan gol untuk Norway. Dia sudah empat gol sekarang, dua perlawanan berturut-turut di pentas terbesar."
"Sukar untuk menang Kasut Emas jika anda bermain untuk Perancis atau Argentina, tetapi kami akan cuba memberi Erling lebih banyak perlawanan dan lebih banyak bantuan," katanya.
Kemenangan itu mengesahkan kemaraan Norway ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak 1998, dengan pemain dan jurulatih turut meraikan kejayaan dengan sambutan 'dayung Viking' yang popular dalam kalangan penyokong mereka.
Namun Solbakken memberi bayangan akan melakukan penggiliran pemain menjelang aksi menentang Perancis selepas perlawanan yang meletihkan itu.
"Kami belum mula merancang lagi. Sekarang kami akan kembali ke kem latihan dan melakukan pemulihan kerana ia perlawanan yang amat sukar dan akan ada pemain lain yang beraksi," katanya. – REUTERS
Tags
Sukan

