JASIN: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan berasingan iaitu membunuh seorang peniaga muda di hadapan sebuah kedai gunting rambut, selain memandu secara melulu dan berbahaya, dua tahun lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, P Kogilanathan, 27, bagi pertuduhan membunuh selepas dia hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa membunuh M Vinurd, 24, di hadapan Navisha Hairdressing Salon, Jalan Rim Baru, Taman Rim Baru, dalam daerah Jasin antara jam 8.39 malam hingga 11 malam pada 25 Ogos 2024.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan membunuh kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Yusri, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Aida Md Zainuddin.
Sementara itu dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret sama, Kogilanathan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu sebuah kereta bernombor pendaftaran WUR 1327 secara melulu dan berbahaya kepada orang awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan kedai aksesori, Taman Asia Selatan, dalam daerah Jasin pada jam 7.30 malam, pada 4 Mac 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun dari tarikh sabitan.
Bagi pertuduhan memandu melulu itu, Noor Syazwani memohon jaminan RM10,000.
Bagaimanapun, Nur Aida merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan selain mengalami patah tulang belakang.
Beliau turut memaklumkan bapa tertuduh menghidap penyakit jantung manakala ibunya pula menghidap diabetes.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000, namun dia kekal ditahan sehingga sebutan semula kes pada 26 Ogos depan sementara menunggu laporan forensik.
Sumber.
Tags
Berita

