KOTA BELUD: Keterujaan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun untuk menunjukkan ikan yang berjaya dipancing kepada keluarga, bertukar tragedi apabila dia maut dirempuh lori ketika melintas jalan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.40 petang di Jalan Kampung Kesapang, di sini, menyebabkan Muzamir Mahadir, 12, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata siasatan awal mangsa dipercayai tiba-tiba berlari ke arah jalan raya sebelum bergesel dengan sebuah Perodua Bezza dan terjatuh di atas jalan raya.
Tiba-tiba, sebuah lori datang yang berada di belakang Perodua Bezza gagal mengelak dan merempuh mangsa.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat," katanya.
Dalam pada itu, beberapa saksi memaklumkan mangsa baru selesai memancing ikan dan berasa gembira selepas berjaya memperoleh ikan.
Mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kesapang dikatakan mahu menunjukkan ikan ditangkap kepada keluarganya sebelum melintas jalan, namun terbabit kemalangan.
Sumber.
Tags
Berita

