Pilihanraya Negeri Sembilan memperlihatkan dengan jelas Anwar menggunakan kuasanya untuk menyingkirkan kumpulan yang berpihak kepada Rafizi tetapi masih kekal di dalam parti miliknya.
Pemindahan Aminuddin dari Sikamat ke Linggi memang membuka ruang kepada tafsiran bahawa beliau sedang dihantar ke medan yang jauh lebih berbahaya. Aminuddin mempertahankan Sikamat selama empat penggal dan menang pada 2023 dengan majoriti 2,662 undi. Linggi pula ialah kerusi milik BN yang dimenangi Mohd Faizal Ramli dengan majoriti 1,461 undi. Dalam PRN kali ini, Aminuddin bukan sahaja berdepan penyandang BN, malah seorang calon Bersatu, menjadikan persaingan itu lebih sukar dan tidak menentu.
Tidak sukar untuk membaca strategi Anwar apabila seorang Menteri Besar dikeluarkan daripada kawasan yang sudah mempunyai rangkaian jentera, rekod perkhidmatan dan hubungan kukuh dengan pengundi, lalu dihantar merampas kerusi lawan. Nampak seolah-olah Aminuddin ke Linggi sebagai langkah memperluas pengaruh PH. Namun dari sudut politik dalaman PKR, keputusan itu juga boleh dibaca sebagai usaha mematikan karier politik Aminuddin.
Tafsiran itu menjadi lebih kuat kerana Aminuddin bukan tokoh berkecuali dalam pemilihan PKR 2025. Rafizi sendiri menyenaraikan Aminuddin sebagai salah seorang calon naib presiden daripada pasukan HIRUK yang menentang kem Nurul Izzah. Nurul Izzah kemudiannya menewaskan Rafizi bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.
Oleh itu, perpindahan Aminuddin ke Linggi boleh dilihat sebagai sebahagian daripada proses membersihkan pengaruh kem Rafizi. Sekiranya Aminuddin menang, PKR memperoleh kerusi BN. Sekiranya beliau kalah, kepimpinan pusat mendapat alasan politik untuk menamatkan kedudukannya sebagai Menteri Besar dan melemahkan salah seorang tokoh utama yang pernah berada dalam pasukan Rafizi. Dalam kedua-dua keadaan, risiko terbesar ditanggung Aminuddin, bukan Anwar.
Isu enam calon PKR yang kalah dalam pemilihan cabang turut mengukuhkan naratif bahawa tiket calon tidak semestinya diberikan berdasarkan mandat akar umbi. Mereka ialah Siti Aishah Seman, Muhammad Nazri Kassim, Ahmad Faez Abdul Razak, Mohd Aidil Abdullah, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa dan Nur Zunita Begum Mohd Ibrahim. Kesemuanya tewas dalam pertandingan cabang atau sayap masing-masing sebelum dipilih bertanding dalam PRN.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Siti Aishah Seman @ Othman yang tewas dalam pertandingan Ketua Cabang Tampin.
Calon DUN Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim, pula kalah dalam pertandingan Ketua Cabang Seremban, manakala calon DUN Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak, tewas dalam pertandingan Ketua Cabang Rasah.
Di Kuala Pilah, Mohd Aidil Abdullah kalah dalam pertandingan Ketua Cabang. Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa pula tewas dalam pertandingan Timbalan Ketua Cabang, manakala Datuk Nur Zunita Begum Mohd Ibrahim kalah dalam pertandingan Ketua Wanita Cabang.
Apabila pihak yang menang dalam pemilihan diketepikan tetapi pihak yang kalah diangkat menjadi calon, kemarahan akar umbi adalah risiko yang nyata. Jentera tempatan mungkin tidak melakukan boikot secara terbuka tetapi boleh memilih untuk bekerja separuh hati, tidak menggerakkan pengundi atau sekadar memenuhi syarat kempen.
Sumber kukuh menyatakan bahawa Aminuddin mungkin menyertai Parti Bersama Malaysia bersama dengan kumpulan 6 calon ini sekiranya kalah.
Rafizi dan Nik Nazmi telah menyertai BERSAMA sebagai platform politik baharu. Hubungan politik Aminuddin dengan pasukan HIRUK bukan lagi satu spekulasi dan terbukti apabila Aminuddin membelakangi Anwar dan DAP di dalam menentukan calon PKR yang ikut bertanding di Negeri Sembilan atas tiket Pakatan Harapan.

