Malaysia Hot

Lebih RM5.12 Juta Pembangunan Direalisasikan, Juasseh Nikmati Kemajuan Menyeluruh – Bibi Sharliza


KUALA PILAH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Dato’ Hjh Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, lebih RM5.12 juta nilai projek pembangunan berjaya direalisasikan sepanjang beliau mewakili DUN Juasseh, melibatkan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat setempat.

Menurut beliau, sepanjang tempoh kira-kira dua tahun lapan bulan memegang amanah sebagai wakil rakyat, tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur, pendigitalan, pendidikan, pemerkasaan wanita, pembangunan belia serta kebajikan masyarakat sebagai usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Beliau berkata, antara pencapaian utama ialah pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur termasuk pembinaan tiga jambatan baharu, kerja-kerja naik taraf dan baik pulih balai raya, balai tani, surau serta masjid, selain pembinaan jalan kampung, pembaikan cerun dan pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Projek-projek ini dilaksanakan di beberapa lokasi seperti Kampung Orang Asli, Kampung Beting, Kampung Tapak, Kampung Tampin PUS, Kampung Sungai Jelutong dan beberapa kawasan lain di sekitar Juasseh,” katanya dalam Kad Laporan 2023–2026.

Dalam masa sama, Bibi Sharliza berkata, usaha memperkukuhkan kemudahan digital turut menjadi keutamaan apabila lima pencawang telekomunikasi baharu berjaya dibina bagi memperluaskan liputan internet di kawasan DUN Juasseh.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memastikan penduduk menikmati capaian internet yang lebih baik sekali gus menyokong urusan harian, pembelajaran dan aktiviti ekonomi digital masyarakat setempat.

Beliau turut memaklumkan bahawa pembangunan modal insan terus diberi perhatian melalui penyaluran bantuan pendidikan kepada anak-anak Juasseh yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, seramai lima pelajar menerima bantuan pada tahun 2025, manakala jumlah itu meningkat kepada 16 penerima pada tahun 2026 sebagai usaha membantu meringankan beban keluarga dan menggalakkan lebih ramai anak muda menyambung pengajian.

Selain itu, katanya, pelbagai program pemerkasaan wanita turut dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang kepimpinan, ekonomi dan pembangunan komuniti.

Antara program yang dianjurkan ialah Malaysian Women & Girls Forum (MWGF) 2024, Program Pemerkasaan Wanita Juasseh serta beberapa program pembangunan wanita di Kuala Pilah, Pasir Ambor dan Pelangai.

Bibi Sharliza berkata, golongan belia juga tidak dipinggirkan apabila pelbagai program seperti Kembara Merdeka, SukNES, Battle of the Band dan Program Pembangunan Belia dilaksanakan bagi membentuk kepimpinan, memupuk semangat kesukarelawanan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.

Dalam aspek kebajikan dan kesihatan, beliau berkata, pelbagai program bersama agensi seperti PAWE, Klinik Kesihatan dan KEMAS dilaksanakan secara berterusan, selain bantuan kebajikan disalurkan kepada golongan memerlukan.

Menurut beliau, seramai 944 warga emas menerima manfaat melalui pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan sepanjang tempoh 2024 hingga 2026.

Beliau berkata, keseluruhan inisiatif yang dilaksanakan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Juasseh melalui pembangunan fizikal, pembangunan modal insan serta pengukuhan kebajikan komuniti.

“Amanah yang diberikan telah saya terjemahkan melalui gerak kerja dan bukan sekadar janji. Dalam tempoh dua tahun lapan bulan, pelbagai projek pembangunan, kebajikan dan program komuniti telah dilaksanakan demi kesejahteraan seluruh rakyat DUN Juasseh,” katanya.


-Darwish Naufal
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال