SEREMBAN: Kuota 200 liter petrol bersubsidi yang diperuntukkan menerusi skim BUDI95 didakwa tidak mencukupi untuk menampung keperluan ribuan penduduk Negeri Sembilan yang berulang-alik setiap hari ke Kuala Lumpur dan Selangor bagi mencari rezeki.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar berkata, isu tersebut semakin jelas selepas beliau turun berkempen dan mendengar sendiri keluhan pengundi, khususnya penduduk di Nilai, Seremban, Paroi serta kawasan sekitarnya.
Menurut beliau, ramai penduduk Negeri Sembilan terpaksa bekerja di luar negeri kerana peluang pekerjaan dengan pendapatan yang bersesuaian masih belum mencukupi di kawasan tempat tinggal mereka.
Keadaan itu menyebabkan mereka bukan sahaja perlu berdepan perjalanan jauh setiap hari, malah terpaksa menanggung kos petrol dan tol yang semakin menekan perbelanjaan isi rumah.
“Ramai warga Negeri Sembilan bermastautin di negeri ini tetapi terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk mencari nafkah. Kuota 200 liter yang diberikan menerusi BUDI95 tidak pernah mencukupi untuk kegunaan perjalanan mereka sepanjang sebulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan pengiraan mudah, seorang pekerja yang menggunakan kira-kira 12 liter petrol sehari bagi perjalanan pergi dan balik memerlukan sebanyak 264 liter untuk tempoh 22 hari bekerja.
Jumlah tersebut melebihi kuota 200 liter sebanyak 64 liter.
Sekiranya baki penggunaan itu terpaksa dibeli pada harga petrol tanpa subsidi sebanyak RM3.62 seliter, pengguna perlu mengeluarkan tambahan kira-kira RM232 sebulan.
Pengiraan tersebut hanya melibatkan perjalanan ke tempat kerja dan belum mengambil kira penggunaan kenderaan untuk menghantar anak ke sekolah, membeli keperluan keluarga, menghadiri urusan kecemasan atau pulang ke kampung.
Bagi keluarga yang hanya memiliki sebuah kenderaan, kuota tersebut berkemungkinan habis lebih awal sehingga memaksa mereka membeli petrol pada harga tanpa subsidi sebelum berakhirnya bulan berkenaan.
Tambah RM286 Untuk Bayaran Tol
Tekanan kewangan menjadi lebih berat apabila kos tol turut diambil kira.
Gulam berkata, dengan anggaran bayaran tol RM6.50 bagi perjalanan sehala, seorang pekerja perlu membayar RM13 sehari untuk perjalanan pergi dan balik.
Bagi tempoh 22 hari bekerja, jumlah bayaran tol boleh mencecah RM286 sebulan.
Apabila kos tambahan petrol sebanyak RM232 dicampurkan dengan bayaran tol RM286, seseorang pekerja berpotensi kehilangan kira-kira RM518 setiap bulan hanya untuk sampai ke tempat kerja dan pulang ke rumah.
Jumlah itu bersamaan lebih RM6,200 setahun—wang yang sepatutnya boleh digunakan untuk membeli makanan, membayar sewa rumah, menjelaskan bil utiliti atau menampung persekolahan anak-anak.
“RM518 mungkin kelihatan kecil bagi pembuat dasar, tetapi bagi keluarga yang hidup dengan pendapatan sederhana, jumlah itu boleh menentukan sama ada mereka mampu membeli keperluan dapur atau terpaksa menangguhkan bayaran lain,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan janji berkaitan tol yang menurutnya masih belum ditunaikan oleh Pakatan Harapan, sedangkan kutipan tol terus menjadi sebahagian daripada beban bulanan rakyat.
Negeri Sembilan Tidak Boleh Kekal Sebagai ‘Negeri Komuter’
Menurut Gulam, masalah sebenar yang perlu diselesaikan bukan sekadar jumlah kuota petrol, tetapi kegagalan mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi dan berkualiti di Negeri Sembilan.
Negeri itu tidak boleh terus menjadi sekadar kawasan kediaman bagi pekerja yang menyumbang tenaga, kemahiran dan produktiviti mereka kepada Kuala Lumpur serta Selangor.
Penduduk membeli rumah di Negeri Sembilan, membesarkan keluarga di Negeri Sembilan dan membayar cukai serta perbelanjaan harian di negeri tersebut. Namun, mereka masih terpaksa keluar seawal pagi dan pulang lewat malam kerana peluang pekerjaan bernilai tinggi lebih banyak tertumpu di Lembah Klang.
Keadaan itu bukan sahaja meningkatkan kos sara hidup, malah mengorbankan masa bersama keluarga, menambah kesesakan jalan raya dan menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Atas sebab itu, Gulam menyifatkan tawaran Barisan Nasional untuk mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu di Negeri Sembilan sebagai langkah yang tepat dan relevan dengan realiti kehidupan rakyat.
Peluang pekerjaan tempatan akan membolehkan penduduk memperoleh pendapatan tanpa perlu menghabiskan ratusan ringgit setiap bulan untuk petrol dan tol.
Ia juga mampu memastikan lebih banyak pendapatan dibelanjakan dalam ekonomi Negeri Sembilan, sekali gus membantu peniaga kecil, meningkatkan aktiviti komersial dan memperkukuh pembangunan kawasan setempat.
“Warga perantau Negeri Sembilan berhak menilai sendiri sama ada kuota BUDI95 sebanyak 200 liter benar-benar mencukupi apabila dicampurkan dengan kos tol yang masih perlu dibayar.
“Semua perbelanjaan ini bukan untuk kemewahan. Ia digunakan semata-mata untuk keluar bekerja dan mencari rezeki yang halal. Untuk kegunaan keluarga dan urusan lain, rakyat sendiri boleh membayangkan berapa besar beban yang perlu ditanggung,” katanya.
Beliau berkata, matlamat utama kerajaan negeri sepatutnya bukan sekadar membantu rakyat membayar perjalanan ke negeri lain, tetapi membina ekonomi yang membolehkan rakyat bekerja, memperoleh pendapatan dan membina masa depan di negeri sendiri.
Negeri Sembilan memerlukan lebih daripada kuota petrol. Negeri Sembilan memerlukan pekerjaan.
Kerja di Nogori, hidup di Nogori dan bina rezeki di tanah sendiri.


