Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu memastikan pemantauan kandungan digital dilaksanakan secara adil sepanjang tempoh pilihan raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato' Sri Azalina Othman Said.
Azalina berkata, kandungan yang diterbitkan oleh parti-parti yang bertanding tidak seharusnya disekat secara tidak adil.
Menurutnya, platform digital kini menjadi sebahagian penting daripada proses demokrasi, sekali gus memerlukan medan persaingan yang sama rata bagi semua pihak.
Beliau berkata, MCMC wajar menubuhkan unit khas di kawasan-kawasan pilihan raya yang dipertandingkan untuk memantau dan melaporkan ucapan kebencian, isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R), serta taktik kempen kotor.
Kandungan yang melanggar peraturan juga perlu diturunkan dengan segera tanpa mengira parti yang terlibat.
“Saya berharap MCMC dan Suruhanjaya Pilihan Raya dapat memantau serta memastikan medan persaingan yang sama rata bagi semua parti yang bertanding,” katanya kepada Berita Harian.
Azalina berkata, platform digital tidak lagi seharusnya dilihat secara berbeza daripada kaedah kempen konvensional kerana perkembangan teknologi telah mengubah strategi kempen daripada perhimpunan fizikal kepada platform digital yang mampu mencapai khalayak lebih luas.
Beliau menambah, kebebasan bersuara dalam ruang digital mesti dihormati selaras dengan prinsip demokrasi. Namun, pemantauan masih diperlukan bagi memastikan platform berkenaan tidak disalahgunakan.
“Jadi, saya berharap tidak akan berlaku sebarang tindakan tidak adil oleh agensi kerajaan terhadap parti-parti politik yang bertanding,” katanya.
Tags
Berita

