Malaysia Hot

RM20 Juta Untuk Bina ‘PMX AI’?


PMX AI dilancarkan dengan penuh gaya. Video promosi futuristik, imej adiwira dan “kembar digital” Datuk Seri Anwar Ibrahim dipersembahkan sebagai saluran baharu untuk rakyat bertanya, berkongsi pandangan serta menyampaikan kebimbangan melalui WhatsApp. Sistem yang dibangunkan oleh Zetrix AI menerusi inisiatif PKR itu dilatih menggunakan ucapan, tulisan dan rekod dasar Anwar.

Bunyinya hebat. Namun, tidak lama selepas dilancarkan pada 18 Julai 2026, PMX AI dibawa keluar talian atas alasan kerja naik taraf dan penambahbaikan sistem. Produk yang dipromosikan sebagai satu evolusi komunikasi politik akhirnya gagal meyakinkan rakyat bahawa ia benar-benar bersedia menampung penggunaan sebenar.

Ada netizen yang uji AI ini dan menurut sumber, PMX AI ini dikeluarkan dari talian adalah kerana ia gagal berfungsi sehinggakan soalan tentang “adakah Anwar perlu dipilih lagi..” dan jawapan AI ini adalah, “NO”.

Memalukan!




Hiruk di media maya, mengapa sistem yang membawa wajah, suara dan nama Perdana Menteri dilancarkan sebelum kestabilannya benar-benar terjamin?

Lebih besar daripada gangguan teknikal ialah dakwaan bahawa sebanyak RM20 juta terlibat dalam pembangunan PMX AI. Setakat semakan terhadap laporan pelancaran dan maklumat yang tersedia kepada umum, angka itu belum disertakan dengan dokumen kontrak, sumber pembiayaan atau pecahan perbelanjaan yang boleh mengesahkannya.

Ada juga yang mengatakan bahawa kosnya melebihi RM20 juta, jadi berapakah kos sebenarnya?

Siapa yang membayar? Adakah PKR, Zetrix AI, pihak penaja atau mana-mana agensi kerajaan?

Jika tiada wang rakyat digunakan, umumkan sumber pembiayaannya. Jika terdapat dana awam, dedahkan nilai kontrak, kaedah perolehan, tempoh perkhidmatan dan syarikat yang menerima bayaran.

Teknologi AI memang memerlukan kos. Ia bukan sekadar membina chatbot biasa dan menyambungkannya kepada WhatsApp. Sistem seperti ini boleh melibatkan pelayan berprestasi tinggi, pemproses grafik atau GPU, pangkalan data, lesen model bahasa, penyediaan data, pembangunan avatar, klon suara, integrasi aplikasi, keselamatan siber, pemantauan dan penyelenggaraan.

Namun, semua kos tersebut tetap boleh disenaraikan. Perkataan “AI” bukan lesen untuk meletakkan satu angka besar tanpa penjelasan.

Sebagai anggaran mudah dan lojik, jika sebuah pelayan dianggarkan bernilai RM200,000 dan sebanyak 10 pelayan digunakan, kos perkakasannya ialah sekitar RM2 juta. Jika dakwaan keseluruhan projek bernilai RM20 juta benar, rakyat berhak mengetahui apakah yang membentuk baki RM18 juta.

Adakah baki itu digunakan untuk pembangunan perisian? Lesen model? Penghasilan avatar? Integrasi WhatsApp? Latihan data? Keselamatan? Promosi? Bayaran perunding? Penyelenggaraan selama beberapa tahun?

Atau sebenarnya PMX AI langsung tidak membeli 10 pelayan baharu dan hanya menggunakan infrastruktur awan atau teknologi sedia ada milik pemajunya?

Malah, angka RM200,000 bagi sebuah pelayan juga hanyalah anggaran kasar. Kos sebenar bergantung kepada spesifikasi.

AWS, misalnya, menyenaraikan kadar sebuah instans dengan satu GPU NVIDIA H100 di beberapa rantau Asia Pasifik pada sekitar AS$3.933 sejam, manakala konfigurasi lapan H100 sekitar AS$31.464 sejam. Harga itu menunjukkan bahawa infrastruktur AI berprestasi tinggi memang boleh menjadi mahal tetapi ia juga membuktikan bahawa kos boleh dikira dan diterangkan secara telus.

Walaupun tiada bukti bahawa PMX AI menggunakan H100, memiliki 10 pelayan atau membangunkan model bahasa sendiri dari awal. Sistem itu mungkin menggunakan model sedia ada, platform awan atau infrastruktur Zetrix AI yang sudah tersedia.

Sebab itu isu ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan alasan bahawa “AI memang mahal”. Soalan sebenar bukan sama ada teknologi itu mahal tetapi apa yang dibeli, siapa yang membayar dan berapa lama kontraknya.

Isu ini semakin penting kerana PMX AI membawa identiti Perdana Menteri. Sekiranya sistem memberikan jawapan yang salah, mengelirukan atau bercanggah dengan dasar kerajaan, pengguna boleh menganggapnya sebagai pendirian rasmi Anwar.

Begitu juga dengan data rakyat. Jika pengguna menghantar aduan, masalah peribadi, pandangan politik atau maklumat tertentu melalui WhatsApp, siapakah pemilik data tersebut? Di manakah ia disimpan? Siapa yang boleh mengaksesnya? Adakah maklumat itu digunakan untuk membantu rakyat atau menganalisis sentimen politik?

Gangguan sistem tidak membuktikan berlaku rasuah. Kos tinggi juga tidak secara automatik membuktikan terdapat unsur “sakau”. Tuduhan sedemikian memerlukan bukti, dokumen dan siasatan.

Namun, apabila produk tergendala tidak lama selepas pelancaran, kosnya tidak dijelaskan dan sumber pembiayaan masih kabur, jangan salahkan rakyat apabila kecurigaan mula timbul.

Cara menutup segala spekulasi bukan dengan mempertahankan projek melalui slogan. Caranya ialah dengan menerbitkan fakta.

Dedahkan kos sebenar. Nyatakan siapa yang membayar. Jelaskan sama ada projek ini menggunakan dana parti, dana korporat atau wang awam. Terbitkan pecahan kos pembangunan, perkakasan, perisian, promosi, keselamatan dan penyelenggaraan.

Rakyat bukan menolak AI. Rakyat juga tidak menentang usaha membawa teknologi baharu ke dalam pentadbiran dan komunikasi politik.

Rakyat hanya tidak mahu sebuah projek dipromosikan dengan gilang-gemilang, diangkat sebagai kejayaan sebelum benar-benar stabil, kemudian diselubungi diam apabila timbul persoalan mengenai kos dan prestasinya.

Jika benar RM20 juta dibelanjakan, dedahkan ke mana setiap ringgit pergi. Jika angka itu tidak benar, umumkan kos sebenar. Teknologi mungkin rumit tetapi akauntabiliti tidak sepatutnya menjadi misteri.



Previous Post Next Post

نموذج الاتصال