Kerajaan memandang serius dakwaan mengenai kegiatan ‘mafia korporat’ yang boleh menjejaskan integriti institusi awam serta keyakinan masyarakat terhadap institusi berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, siasatan yang sedang dijalankan perlu diberikan ruang untuk diteruskan secara bebas, telus dan menyeluruh, selaras dengan undang-undang serta tatacara yang telah ditetapkan.
“Kerajaan berpandangan bahawa sebarang tindakan susulan hendaklah berpandukan hasil siasatan bagi memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan fakta, keadilan dan kedaulatan undang-undang,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Azalina berkata demikian ketika menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai status siasatan terhadap kes yang didakwa melibatkan ‘mafia korporat’ serta cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perkara tersebut.
Beliau berkata, penubuhan RCI di Malaysia tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.
Azalina berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa, proses penubuhan RCI bermula dengan kementerian peneraju menyediakan memorandum Jemaah Menteri bagi menangani sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan awam yang serius.
“Selepas Jemaah Menteri meluluskan cadangan tersebut, Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan Seri Paduka Baginda,” katanya.
Beliau berkata, selepas perkenan diraja diperoleh, proses penubuhan RCI akan melibatkan pemuktamadan terma rujukan, keanggotaan dan tempoh siasatan. Penubuhan itu kemudiannya akan dimasyhurkan melalui penerbitan dalam Warta Kerajaan Persekutuan sebelum suruhanjaya berkenaan memulakan tugasnya.
Beliau berkata, kerajaan kekal terbuka untuk mempertimbangkan penubuhan RCI atau apa-apa mekanisme lain yang bersesuaian sekiranya perkara itu dianggap perlu demi kepentingan awam.
“Sebarang pertimbangan terhadap cadangan penubuhan RCI bagi menyiasat isu ‘mafia korporat’ dan perkara-perkara berkaitan akan dibuat mengikut prosedur serta kehendak yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
“Pertimbangan itu juga akan mengambil kira fakta, hasil penemuan dan perkembangan terkini daripada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Tags
Berita

