BRUSSELS: Menteri Dalam Negeri Sepanyol, Fernando Grande-Marlaska pada Jumaat mengisytiharkan darurat di Wilayah Madrid dan wilayah Avila ekoran keadaan yang semakin buruk akibat kebakaran hutan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Menurut stesen penyiaran RTVE, pengisytiharan itu meliputi kebakaran hutan di kawasan perbandaran Villa del Prado dan San Martin de Valdeiglesias di Madrid, serta Burgohondo di Avila yang terletak dalam wilayah Castilla dan Leon.
Kementerian Dalam Negeri memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas beberapa kebakaran yang merebak serentak, cuaca buruk serta keperluan untuk menggerakkan sumber berskala besar daripada pelbagai agensi kerajaan.
Pihak berkuasa turut mengambil kira keperluan melaksanakan pemindahan awal, ancaman terhadap kawasan kediaman serta kemungkinan kebakaran merebak merentasi sempadan wilayah.
Unit Kecemasan Tentera (UME) diberi tanggungjawab mengetuai operasi memadam kebakaran dan tindakan kecemasan.
Menurut kerajaan wilayah Madrid, keadaan masih kritikal dengan tiga kebakaran besar masih aktif dan belum dapat dikawal.
Lebih 10,000 penduduk dipindahkan dari kawasan perbandaran Villa del Prado, San Martin de Valdeiglesias, Pelayos de la Presa dan Aldea del Fresno.
Pihak berkuasa wilayah memaklumkan kebakaran berpotensi terus merebak dan sukar dipadam berdasarkan situasi semasa.
-- BERNAMA-ANADOLU
Tags
Berita

