ROM: George Clooney diumumkan sebagai penerima Anugerah Golden Lion bagi Pencapaian Seumur Hidup di Festival Filem Venice, menurut pemakluman lembaga pengarah pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam ucapan penerimaannya, pelakon Amerika Syarikat berusia 65 tahun itu berkata: "Saya telah melalui begitu banyak detik luar biasa di Venice. Festival ini tanpa ragu-ragu merupakan kegemaran saya dan dianugerahkan Golden Lion adalah satu penghormatan yang amat besar. Ia juga mungkin bermakna saya sudah tua, tetapi saya menerimanya dengan hati terbuka."
Festival Filem Venice ke-83, yang dianggap sebagai festival paling berprestij selepas Cannes, bakal berlangsung dari 2 hingga 12 September.
Clooney mula dikenali menerusi siri drama perubatan "ER" pada tahun 1990-an.
Antara filem terkenalnya termasuk "Ocean's Eleven", "Syriana" - yang membolehkan beliau merangkul Anugerah Oscar bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada 2006 - serta "Michael Clayton", "Up in the Air", "The Descendants" dan "Gravity".
Tahun lepas, beliau membawakan filem "Jay Kelly" arahan Noah Baumbach ke Venice, namun, jatuh sakit semasa festival berlangsung dan terpaksa membatalkan kehadirannya di sidang media.
Pengarah Artistik Festival, Alberto Barbera memberi penghormatan kepada Clooney atas sumbangan usahanya dalam tiga kapasiti berbeza iaitu sebagai pelakon, pengarah dan penerbit.
"Beliau dikurniakan bakat untuk menghidupkan watak-wataknya bukan sahaja hingga kelihatan boleh dipercayai, malah memikat, mudah didekati dan berjiwa kemanusiaan, hasil pesona dirinya yang tidak boleh dinafikan," kata Barbera.
"Namun, karisma Clooney dibina atas kredibilitinya dan bukannya sekadar imej, kerana sisi penampilannya yang memikat tidak pernah bersifat estetik semata-mata," katanya.
-- BERNAMA-dpa
Tags
Hiburan

