Johor sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara apabila merekodkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.0% pada tahun 2025, sekali gus muncul sebagai negeri dengan prestasi ekonomi terbaik di Malaysia. Pencapaian ini bukan sahaja mengatasi kadar pertumbuhan nasional sebanyak 5.2%, malah mencerminkan keyakinan pelabur, keberkesanan dasar pembangunan serta kestabilan pentadbiran yang menjadi asas kepada kemajuan negeri.
Lebih membanggakan, Johor terus mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK sektor pertanian negara dengan sumbangan 17.3% bersamaan RM18.39 bilion. Kejayaan ini membuktikan bahawa sektor pertanian bukan sekadar kekal relevan, malah terus berkembang sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri, di samping menyokong keselamatan makanan, menjana pendapatan rakyat dan memperkukuh rantaian bekalan negara.
Prestasi cemerlang ini merupakan manifestasi kejayaan Agenda Maju Johor 2030, yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi berimpak tinggi, pelaburan berkualiti, pemerkasaan industri strategik serta kesejahteraan rakyat. Kejayaan ini juga lahir daripada kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, kementerian, jabatan, agensi pelaksana, sektor swasta dan seluruh warga Johor yang bersama-sama merealisasikan agenda pembangunan negeri.
Sebagai Bangsa Johor, pencapaian ini merupakan satu kebanggaan yang wajar disyukuri. Namun, kejayaan hari ini bukanlah destinasi terakhir, sebaliknya menjadi pemangkin untuk terus melangkah lebih jauh. Tanggungjawab kita adalah memastikan setiap pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan pendapatan isi rumah, pembangunan infrastruktur yang menyeluruh serta kesejahteraan yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Johor tanpa mengira latar belakang.
Dengan
mandat dan kepercayaan yang terus diberikan oleh rakyat, Kerajaan
Negeri di bawah kepimpinan Barisan Nasional akan meneruskan komitmen
memperkukuh daya saing ekonomi Johor, menarik lebih banyak pelaburan
bernilai tinggi, memperluaskan peluang pekerjaan berkualiti serta
memastikan setiap hasil pembangunan dapat dirasai oleh seluruh Bangsa
Johor. Dengan kestabilan politik, pentadbiran yang berwibawa dan
perancangan yang jelas, Johor akan terus melangkah sebagai negeri
peneraju ekonomi Malaysia.


