Apabila Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengeluarkan kenyataan bahawa "menang Johor pun saya Perdana Menteri, kalah pun saya Perdana Menteri", membuktikan bahawa apa yang Anwar perjuangkan selama lebih 20 tahun runtuh sekelip mata.
Ketika menjadi pembangkang samada di dalam atau di luar penjara kerana kes liwat, mulut Anwar tidak berubah dan sentiasa berlendir dengan “Aku Perdana Menteri, Saya belum jadi Perdana Menteri, Saya tidak Perdana Menteri” dan banyak lagi ungkapan seumpama itu yang menjuruskan kepada doktrinisasi supaya penyokongnya sentiasa ingat bahawa jawatan tersebut adalah miliknya.
Naratif yang Pakatan Harapan gariskan di dalam minggu ini mudah dibaca. Cerita Najib Razak akan diampunkan jika BN menang besar hasil manipulasi kenyataan anak Bossku dan terkini adalah “Aku tetap Perdana Menteri”.
Cerita Najib Razak masih dibawa ke pentas kempen PRN Johor seolah-olah keputusan pilihan raya negeri mempunyai kuasa menentukan nasib beliau.
Jika kemenangan BN di Johor tidak mengubah kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri, adakah kekalahan PH pula akan mengubah proses pengampunan Najib?
Jawapannya juga tidak.
Anwar dan jentera pilihanraya PH cuba memanipulasi proses pengampunan dengan mengharapkan Bangsa Johor boleh dibeli dengan pembohongan itu.
Faktanya, pengampunan dari YDPA bukan ditentukan oleh keputusan PRN. Ia berjalan mengikut lunas Perlembagaan dan institusi yang diberi kuasa. Maka mengheret nama Najib ke pentas kempen lebih menyerupai strategi politik daripada hujah yang benar-benar berkait dengan pilihan raya negeri.
Ironinya, Anwar kini tampil membawa imej sebagai pejuang integriti dan kedaulatan undang-undang. Sedangkan perjalanan beliau ke Putrajaya sendiri lahir daripada antara pakatan politik paling luar biasa dalam sejarah negara.
Pada PRU14, Mahathir Mohamad sanggup mengetepikan permusuhan puluhan tahun demi membentuk pakatan dengan Anwar, PKR, DAP dan sekutu pembangkang yang lain. Mahathir menggunakan lambang PKR, manakala seluruh blok pembangkang bergerak di bawah satu matlamat yang sama untuk menumbangkan BN. Antara perkara yang sering diperkatakan dalam wacana politik ketika itu ialah persefahaman bahawa selepas kemenangan, Anwar akan kembali ke arena politik melalui proses pengampunan diraja sebelum mengambil alih kepimpinan negara.
Itulah realiti politik PRU14. Sebab itu, apabila Anwar hari ini cuba memposisikan dirinya sebagai simbol mutlak perjuangan undang-undang, rakyat berhak menilai sama ada naratif tersebut selari dengan sejarah politik yang membawa beliau ke puncak kuasa.
Lebih menarik, setiap kali Anwar menyentuh isu Najib, tumpuan rakyat tidak hanya kembali kepada Najib. Tumpuan turut kembali kepada bagaimana kerajaan mengendalikan pelbagai polemik berkaitan pelaksanaan hukuman dan isu adendum yang pernah mencetuskan perbahasan hangat di negara ini. Isu-isu tersebut masih segar dalam ingatan rakyat dan terus menjadi bahan penilaian terhadap kredibiliti kerajaan.
Justeru, semakin kerap nama Najib dijadikan modal politik, semakin kuat juga rakyat mengimbas semula keseluruhan perjalanan politik yang membawa Anwar menjadi Perdana Menteri.
PRN Johor sepatutnya menjadi medan membincangkan masa depan Johor seperti ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan, kos sara hidup, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat. Sebaliknya, pentas kempen kembali dipenuhi naratif yang mengajak rakyat melihat ke belakang.
Rakyat Johor tidak memilih kerajaan negeri untuk menentukan siapa mendapat pengampunan. Rakyat Johor memilih kerajaan negeri untuk mentadbir Johor.
Maka sebelum cuba menjadikan orang lain sebagai sasaran politik, Anwar juga perlu bersedia menerima bahawa rakyat sentiasa ingat bahawa Anwar jadi PM di atas ehsan UMNO-BN.


