Malaysia Hot

Kerajaan mahu rujuk Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat kepada jawatankuasa pilihan - Azalina


PETALING JAYA: Kerajaan akan membentangkan suatu usul bagi merujuk Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk penelitian dan pertimbangan secara terperinci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, berkata rang undang-undang tersebut telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, kandungan rang undang-undang berkenaan akan turut diperhalusi menerusi sesi libat urus bersama pihak berkepentingan, pertubuhan masyarakat sivil serta Ahli-Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak.

“Langkah ini selaras dengan pendekatan kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi yang besar dan kompleks, iaitu dengan membangunkan suatu kerangka perundangan yang menyeluruh, seimbang dan berkesan, bukan sekadar meluluskan satu undang-undang secara bersendirian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil maklum kebimbangan dan pandangan yang dibangkitkan oleh pertubuhan masyarakat sivil berhubung beberapa aspek dalam rang undang-undang tersebut.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat benar-benar mencapai matlamat reformasi yang ditetapkan serta selaras dengan amalan terbaik,” katanya.

Rang undang-undang berkenaan dijadualkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga dalam Mesyuarat Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال