Malaysia Hot

Pelaut India terbunuh dalam serangan ke atas kapal di Laut Hitam


HYDERABAD: Seorang pelaut India maut dalam serangan ke atas sebuah kapal kargo di Laut Hitam, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar India lewat Jumaat.

“Kami dimaklumkan bahawa pada 18 Julai 2026, kapal dagang MV OMORFI diserang ketika melalui Laut Hitam, dipercayai di perairan wilayah Rusia,” menurut kementerian dalam satu kenyataan.

Kapal berkenaan membawa 10 anak kapal, termasuk tiga warga India.

Seorang warga India maut dalam serangan itu, manakala dua lagi dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

“India mengecam sekeras-kerasnya serangan sedemikian yang menyasarkan kapal dagang dan membahayakan nyawa anak kapal awam yang tidak berdosa.

“Ancaman yang semakin meningkat terhadap kebebasan pelayaran dan perdagangan antarabangsa merupakan perkara yang amat membimbangkan,” menurut kementerian itu.

Ini merupakan insiden kedua membabitkan kematian anak kapal India dalam serangan ke atas kapal di Laut Hitam sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Empat warga India maut pada 19 Julai apabila kapal Golden Leo yang didaftarkan di Guinea-Bissau diserang ketika meninggalkan pelabuhan Odesa, Ukraine.

-- BERNAMA
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال