BRUSSELS: Platform perkongsian video TikTok berdepan risiko dikenakan denda yang tinggi selepas dapatan awal Kesatuan Eropah (EU) menunjukkan akaun kanak-kanak tidak mematuhi piawaian keselamatan kanak-kanak EU, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Suruhanjaya Eropah berkata dalam kenyataan yang diterbitkan pada Jumaat bahawa TikTok membenarkan kanak-kanak mempunyai profil awam, sekali gus membolehkan pengguna tanpa akaun TikTok melihat kandungan mereka.
"Pendedahan ini boleh menyebabkan hubungan tidak diingini daripada individu berpotensi melakukan kesalahan serta risiko kandungan digunakan untuk buli siber," katanya.
Suruhanjaya itu turut mengkritik platform berkenaan kerana mengesyorkan kandungan yang dimuat naik oleh pengguna berusia 16 dan 17 tahun kepada pengguna lain melalui algoritmanya, selain menjadikan akaun peribadi mudah ditemukan.
Menurut suruhanjaya itu, tetapan akaun TikTok melanggar piawaian keselamatan ketat bagi akaun kanak-kanak di bawah Akta Perkhidmatan Digital EU kerana ia "mendedahkan akaun dan kandungan golongan bawah umur secara terlalu meluas".
TikTok kini boleh mengemukakan maklum balas bertulis terhadap dakwaan berkenaan kepada suruhanjaya itu. Jika suruhanjaya akhirnya mendapati platform berkenaan melanggar undang-undang EU, ia boleh mengenakan denda sehingga enam peratus daripada jumlah perolehan tahunan global syarikat itu.
Sumber.
Tags
Berita

