Politik tidak menguji siapa yang paling lantang berpidato. Politik menguji siapa yang paling konsisten mempertahankan prinsip apabila prinsip itu menuntut pengorbanan.
Atas sebab itu, jika benar Presiden Abdul Hadi Awang dalam segmen Minda Presiden melalui akaun Facebook rasminya menyeru seluruh rakyat Johor supaya mempertahankan kuasa politik Melayu Islam demi menjamin kestabilan, keadilan dan kesejahteraan negeri, maka Hadi kena ingat bahawa seruan tersebut membawa satu tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar sebuah kenyataan.
Jika tidak, ia akan tinggal sebagai kenyataan seorang yang munafik sahaja.
Jika matlamatnya benar-benar mahu memperkukuhkan kuasa politik Melayu Islam, apakah strategi yang paling munasabah?
Mengukuhkan kekuatan yang sedia ada atau membenarkan pertandingan yang berpotensi memecahkan sokongan dalam kalangan pengundi yang menjadi sasaran seruan tersebut?
Di Johor, UMNO bertanding di 37 kerusi Dewan Undangan Negeri. Dari sudut strategi pilihan raya, ada yang berhujah bahawa memperkukuhkan kemenangan kerusi-kerusi itu merupakan antara jalan untuk mengekalkan dominasi politik Melayu dalam pentadbiran negeri.
"UMNO ada 37 kerusi sebelum ini. Kuasa politik Melayu Islam kukuh. Jika ikhlas mahu melihat kuasa politik Melayu Islam terjamin bukan datang memecah belahkan.Apa pun alasan, kenyataan yang berubah ubah hanya memperlihatkan kemunafikan politik" kata pemerhati politik.
Hadi Awang perlu ingat perjuangan tidak menjadi lemah kerana lawan semakin kuat. Perjuangan menjadi lemah apabila mereka sentiasa cakap lain buat lain.
Rakyat hanya mahu melihat keserasian antara apa yang diucapkan dengan apa yang dilakukan.
Dalam politik, itulah yang dinamakan kredibiliti.
Sebab itu rakyat hari ini semakin sukar dipengaruhi oleh ceramah atau kenyataan yang diulang berkali-kali tetapi tiada roh, tiada bukti. Jadi di Johor inilah PAS perlu membuktikan bahawa UMNO-BN adalah Rumah Bangsa yang sebenar.
Mereka menilai rekod.
Mereka menilai tindakan.
Mereka menilai konsistensi.
Kerana rakyat tahu, ucapan boleh berubah mengikut pentas.
Naratif boleh berubah mengikut musim.
Kawan dan lawan boleh bertukar mengikut percaturan.
Namun prinsip tidak sepatutnya berubah hanya kerana peta politik berubah.

