KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii berpandangan bahawa rakyat hari ini semakin sukar menerima dakwaan DAP kononnya menjadi benteng utama reformasi apabila corak tindakan parti itu dilihat lebih banyak berkisar kepada tawar-menawar politik berbanding perjuangan yang konsisten.
Menurut beliau, setiap kali timbul rasa tidak puas hati terhadap agihan kuasa dalam kerajaan, DAP akan kembali mengangkat slogan reformasi, mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan memberi tekanan kepada rakan gabungan. Namun apabila kepentingan politik mereka dilihat dipenuhi, nada tersebut semakin perlahan sehingga isu reformasi tidak lagi menjadi keutamaan.
"Rakyat sedang memerhati. Mereka melihat sendiri bahawa suara paling lantang mengenai reformasi sering muncul ketika berlaku perebutan pengaruh dan kedudukan, bukannya ketika rakyat benar-benar memerlukan pembelaan," katanya.
Razlan berkata, tindakan DAP selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang dikaitkan dengan desakan supaya agenda reformasi dipercepatkan menimbulkan persepsi bahawa parti itu lebih gemar meletakkan tekanan kepada kerajaan berbanding melakukan muhasabah terhadap prestasi sendiri.
Beliau menegaskan bahawa mana-mana parti yang berada dalam Kabinet tidak boleh memilih untuk hanya menikmati kuasa ketika keadaan memihak kepada mereka tetapi melepaskan tanggungjawab apabila berdepan cabaran politik.
"Kalau berada dalam kerajaan, tanggungjawab itu dikongsi bersama. Tidak adil untuk mengambil kredit apabila keadaan baik tetapi menyalahkan pihak lain apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepada mereka," katanya.
Menurut Razlan, persepsi bahawa agenda reformasi akhirnya dikaitkan dengan soal jawatan menteri dan pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan isu yang perlu dijawab oleh kepimpinan DAP sendiri.
Katanya, persepsi sedemikian timbul apabila suara mengenai reformasi dilihat semakin reda selepas beberapa tuntutan politik dipenuhi, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada perjuangan tersebut benar-benar berasaskan prinsip atau sekadar alat rundingan politik.
Razlan turut menyifatkan kenyataan berbentuk syarat dan ugutan yang pernah dikaitkan dengan beberapa pemimpin kanan DAP sebagai pendekatan yang tidak membantu mengukuhkan kestabilan politik negara.
"Budaya mengugut untuk melepaskan jawatan atau memberi tekanan kepada rakan gabungan setiap kali berlaku perbezaan pandangan bukanlah contoh kepimpinan yang matang. Rakyat mahu melihat penyelesaian, bukannya drama politik yang berulang-ulang," ujarnya.
Beliau berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah apabila isu-isu yang pernah menjadi simbol perjuangan DAP semakin kurang diberikan penekanan, sedangkan rakyat masih berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi, peningkatan kos sara hidup dan keresahan dalam kalangan komuniti perniagaan.
Menurutnya, rakyat kini lebih bijak menilai keutamaan sebenar setiap parti politik. Mereka tidak lagi mudah terpengaruh dengan slogan yang diulang saban tahun tanpa disusuli pencapaian yang boleh dirasai.
"Politik hari ini bukan lagi pertandingan siapa paling lantang bercakap mengenai reformasi. Politik hari ini ialah siapa yang benar-benar mampu menyelesaikan masalah rakyat secara konsisten, berintegriti dan bertanggungjawab," katanya.
Razlan menegaskan bahawa kestabilan kerajaan tidak boleh dijadikan tebusan kepada tuntutan politik mana-mana pihak. Sebaliknya, semua parti yang diberi mandat mentadbir perlu mengutamakan kepentingan negara mengatasi kepentingan jawatan dan kelompok tertentu.
Beliau berpandangan bahawa jika DAP benar-benar mahu terus membawa agenda reformasi, parti itu perlu membuktikannya melalui tindakan yang konsisten, bukannya hanya menghidupkan naratif tersebut apabila kedudukan politik mereka tergugat.
"Kepercayaan rakyat bukan dibina melalui ugutan atau retorik. Ia dibina melalui prinsip, konsistensi dan keberanian memikul tanggungjawab. Pada akhirnya, pengundilah yang akan menentukan sama ada perjuangan itu benar-benar ikhlas atau sekadar slogan yang berubah mengikut keadaan politik," katanya.

