Pakatan Harapan sudah lama memegang tampuk pentadbiran Negeri Sembilan tetapi apabila tiba musim pilihan raya, mereka masih berkempen seperti pembangkang yang tidak pernah mempunyai kuasa. Daripada membentangkan hasil kerja, menjawab masalah rakyat dan menawarkan penyelesaian baharu, pemimpin PH lebih sibuk menyerang Barisan Nasional serta meramalkan kehancuran pihak lawan.
Mula-mula Hannah Yeoh menyamakan kerjasama BN dan Perikatan Nasional dengan kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam. Pengerusi Barisan Nasional yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kemudian menjawab bahawa rakyat akan melihat sendiri siapa yang karam dan siapa yang timbul pada 1 Ogos nanti. Jawapan itu sekadar menyambut perumpamaan yang dimulakan Hannah tetapi Anthony Loke pula sentap, masuk campur dengan menasihati Zahid supaya tidak angkuh.
Aneh sekali perangai politik PH. Pihak yang terlebih dahulu meramalkan lawannya akan tenggelam tidak pula dianggap angkuh tetapi pihak yang membalas dan menyerahkan keputusan kepada rakyat dituduh sombong. Apabila PH menyindir, itu kononnya keberanian. Apabila sindiran dipulangkan, mereka mula ‘menggelupur’.
Kalau mahu menyindir orang, bersedialah menerima sindiran kembali. Kalau tidak tahan dijawab, jangan mulakan provokasi. Dalam politik, sesiapa yang berani membuat kenyataan mestilah berani menerima balasan. Jangan apabila menyerang orang lain semuanya dianggap demokrasi tetapi apabila serangan itu kembali kepada diri sendiri, tiba-tiba mahu bercakap tentang kesopanan dan keangkuhan.
Episod Titanic itu memperlihatkan masalah sebenar kempen PH. Mereka mempunyai terlalu banyak masa untuk bercakap tentang BN tetapi terlalu sedikit kesungguhan untuk menjelaskan apa yang telah dilakukan bagi menyelesaikan masalah rakyat Negeri Sembilan.
Lebih tidak jujur apabila Aminuddin Harun dan PH membawa naratif seolah-olah pentadbiran Negeri Sembilan sepanjang penggal lalu merupakan kerajaan PH semata-mata.
Selepas Pilihan Raya Negeri 2023, PH hanya memenangi 17 kerusi manakala BN memperoleh 14 kerusi. Kedua-duanya bergabung dengan kekuatan 31 daripada 36 kerusi untuk membentuk kerajaan perpaduan negeri, malah barisan Exco turut dianggotai wakil BN.
Maka, kerajaan Negeri Sembilan itu bukan milik eksklusif PH. Ia ialah kerajaan gabungan yang turut dibina, disokong dan digerakkan oleh BN. Tanpa 14 kerusi BN, Aminuddin tidak mempunyai kekuatan 31 kerusi yang sering dibanggakan sebagai asas kestabilan pentadbirannya.
PH tidak boleh mengambil seluruh kredit ketika bercakap tentang kejayaan, kemudian melayan BN seperti musuh yang tidak pernah mempunyai peranan dalam kerajaan tersebut. Apabila sesuatu projek berjaya, PH mendakwa itulah kejayaan Aminuddin. Apabila pelaburan masuk, PH mendakwa itulah hasil pentadbiran mereka. Apabila program rakyat dilaksanakan, logo dan wajah PH pula cuba diletakkan di hadapan.
BN seolah-olah hanya diperlukan untuk memberikan angka kestabilan tetapi cuba dipadamkan apabila kredit hendak diagihkan.
Itulah politik yang tidak tahu mengenang sumbangan rakan sendiri. Ketika memerlukan sokongan, BN disebut sebagai rakan kerajaan perpaduan. Ketika mahu berkempen, semua kejayaan tiba-tiba menjadi milik PH seorang. Setelah menikmati kestabilan bersama BN, kini PH mahu menjual cerita seolah-olah mereka mentadbir bersendirian.
Aminuddin dan PH perlu berlaku jujur kepada rakyat. Segala pencapaian pentadbiran selepas pembentukan kerajaan perpaduan tidak boleh dituntut sebagai kejayaan PH semata-mata. Wakil BN turut berada dalam kerajaan, menganggotai Exco, mengurus portfolio, menyokong dasar serta bersama-sama memastikan pentadbiran negeri dapat berfungsi.
Malah, selepas BN menarik sokongan pada April 2026, empat jawatan Exco yang dikaitkan dengan wakil BN dilaporkan menjadi kosong. Perkara itu sendiri membuktikan BN bukan sekadar penumpang atau penghias pentadbiran Aminuddin, sebaliknya mempunyai peranan nyata dalam struktur kerajaan negeri.
Jika PH mahu mengaku semua kejayaan sebagai miliknya, mereka juga perlu bersedia memikul semua kelemahan pentadbiran tanpa menyalahkan pihak lain. Tidak boleh mengambil kredit secara bersendirian ketika keadaan baik, tetapi mencari BN, kerajaan Persekutuan atau keadaan global apabila rakyat bertanya tentang kegagalan.
Berapa banyak pekerjaan berkualiti telah diwujudkan?
Berapa banyak rumah mampu milik telah siap dan diserahkan?
Mengapa masih ramai anak Negeri Sembilan perlu bangun sebelum subuh untuk bekerja di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor?
Apakah penyelesaian sebenar terhadap kesesakan jalan raya, tekanan kos hidup dan kekurangan peluang ekonomi tempatan?
Itulah persoalan yang lebih penting daripada cerita siapa akan karam dan siapa akan timbul.
Manifesto PH bagi pilihan raya Negeri Sembilan juga gagal menawarkan sesuatu yang benar-benar segar. Janji menyediakan 30,000 pekerjaan berkualiti dan 20,000 rumah mampu milik mungkin kelihatan menarik di atas pentas, tetapi rakyat berhak bertanya mengapa perkara sebesar itu masih menjadi janji selepas PH berada dalam pentadbiran sejak 2018.
Selepas bertahun-tahun berkuasa, PH tidak sepatutnya kembali kepada rakyat dengan senarai cita-cita yang boleh ditulis oleh mana-mana parti. Mereka sepatutnya hadir dengan angka pencapaian, lokasi projek, garis masa pelaksanaan, sumber kewangan dan bukti bahawa janji lama telah ditunaikan.
Manifesto PH bukan langsung tidak mempunyai isi. Ia cuma terlalu biasa, selamat dan hambar. Tiada tawaran besar yang benar-benar mampu mengubah kehidupan rakyat. Tiada gagasan yang membuatkan pengundi merasakan Negeri Sembilan sedang dibawa menuju masa depan baharu. Yang lebih menonjol bukan manifestonya tetapi serangan terhadap BN.
Corak sama dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika rakyat mahu mendengar tentang ekonomi, pekerjaan dan kos kehidupan, beliau membawa isu Tabung Haji ke pentas kempen dengan dakwaan wang institusi itu telah “disakau”. Susulan kenyataan tersebut, Anwar dicabar supaya mendedahkan pihak yang dimaksudkan serta mengambil tindakan undang-undang.
Anwar bukan lagi Ketua Pembangkang yang hanya mampu membuat tuduhan dari pentas ceramah. Beliau ialah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Jika benar berlaku penyelewengan, terbitkan laporan penuh, siasat dan dakwa pihak yang bertanggungjawab. Pendeposit tidak memerlukan ‘trailer politik’. Mereka memerlukan fakta, tindakan dan pertanggungjawaban.
Anwar turut bertemu anggota tentera ketika isu ungkapan “tentera bangang” kembali diperkatakan. Namun pertemuan itu lebih banyak menyaksikan beliau mengeluh menjadi mangsa fitnah daripada menyampaikan permohonan maaf secara khusus kepada anggota tentera yang mungkin tersinggung. Anwar mendakwa dirinya difitnah dan menggesa kempen tidak dicemari maklumat tidak benar.
Jika benar rakaman itu dimanipulasi, bentangkan rakaman penuh dan kemukakan bukti. Pertemuan dengan anggota tentera sepatutnya menumpukan penghormatan terhadap pengorbanan, kebajikan dan maruah mereka, bukannya sekali lagi menjadikan Anwar sebagai pusat segala cerita.
Hannah Yeoh bercakap tentang Titanic. Anthony Loke menuduh lawan angkuh. Anwar membawa isu Tabung Haji dan mengeluh menjadi mangsa fitnah. Aminuddin pula cuba menjual kejayaan kerajaan gabungan sebagai kejayaan PH semata-mata.
Semuanya berkisar tentang lawan politik, imej pemimpin dan perebutan kredit.
Rakyat Negeri Sembilan pula masih menunggu jawapan tentang pekerjaan, perumahan, jalan raya, kos kehidupan, peluang ekonomi dan masa depan anak-anak mereka.
PH mempunyai masa bertahun-tahun untuk mengurus rakyat tetapi memilih menghabiskan kempen dengan mengurus serangan terhadap BN. Lebih buruk, mereka mahu menafikan sumbangan BN dalam kerajaan gabungan sambil menuntut semua pencapaian sebagai milik sendiri.
BN diperlukan untuk membentuk kestabilan tetapi cuba dipadamkan ketika PH membahagikan kredit.
Negeri Sembilan tidak memerlukan kerajaan yang paling pandai menyerang dan merampas kejayaan rakan. Rakyat memerlukan kerajaan yang tahu bekerja serta berani berlaku jujur.


