Empat puluh satu tahun bukan tempoh yang singkat dalam politik. Ia cukup lama untuk melihat sebuah parti ketika menjadi pembangkang, melalui kekalahan, membina kekuatan dan akhirnya berada dalam kerajaan. Sebab itu apabila Ronnie Liu, veteran yang menghabiskan 41 tahun bersama DAP, memilih kembali aktif berpolitik melalui Parti Bangsa Malaysia (PBM), kisahnya tidak wajar dianggap sekadar berita biasa seorang ahli politik bertukar parti.
Ronnie secara rasmi menyertai PBM yang dipimpin Ahli Parlimen Julau, Larry Sng selepas lebih tiga tahun berada di luar politik kepartian. Penyertaan itu membuka lembaran baharu dalam perjalanan politiknya selepas beliau meninggalkan DAP pada Jun 2023. Namun yang menjadikan kisah ini lebih besar bukan parti baharu yang dipilihnya, tetapi sebab mengapa seorang yang bertahan lebih empat dekad akhirnya memilih untuk pergi.
Ronnie bukan ahli biasa yang baru mengenali DAP beberapa musim pilihan raya. Beliau pernah menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu untuk beberapa penggal, pernah menjadi ADUN dan pernah berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Sebahagian besar kehidupan politiknya dibina bersama DAP ketika parti itu masih jauh daripada Putrajaya.
Antara perkara yang pernah dipersoalkan Ronnie ialah pindaan perlembagaan DAP berkaitan keahlian wakil rakyat. Pindaan itu membolehkan keahlian seseorang wakil rakyat ditamatkan secara automatik sekiranya tindakannya dianggap bertentangan dengan pendirian parti dalam perkara tertentu. Bagi Ronnie, pendekatan tersebut menimbulkan persoalan mengenai demokrasi dalaman dan ruang untuk seseorang wakil rakyat menyatakan pandangan berbeza.
Di sinilah ironi politik DAP menjadi sukar dielakkan.
Selama berdekad-dekad, DAP begitu lantang bercakap tentang kebebasan bersuara, demokrasi, reformasi institusi, semak dan imbang serta keberanian menegur kuasa. Semua prinsip itu mudah dilaungkan ketika orang lain memerintah. Ujian sebenarnya bermula apabila perbezaan pendapat muncul di dalam rumah sendiri.
Sudah tentu sebuah parti memerlukan disiplin. Wakil rakyat tidak boleh menggunakan lambang parti untuk menang kemudian bertindak sesuka hati. Namun disiplin parti dan budaya yang terlalu mengikat suara berbeza bukan perkara yang sama.
Kalau seorang ahli baharu mengkritik, mungkin mudah dikatakan dia belum memahami budaya parti. Kalau seseorang baru kalah pemilihan lalu bersuara, mungkin mudah dilabel kecewa. Namun bagaimana pula apabila individu yang bertahan selama 41 tahun sendiri mula mempersoalkan ruang demokrasi dalam parti?
Lebih menarik, Ronnie tidak terus menyertai mana-mana parti sebaik meninggalkan DAP. Beliau mengambil masa lebih tiga tahun sebelum memilih PBM. Ketika kembali aktif, beliau bercakap mengenai keperluan kepada politik yang lebih baik, kepentingan institusi dan keutamaan negara mengatasi kepentingan parti.
Seseorang boleh bersetuju atau tidak dengan pandangan Ronnie. Itu lumrah politik. Namun sejarah 41 tahunnya bersama DAP tidak boleh dipadam hanya kerana penghujung ceritanya tidak lagi menyenangkan bekas partinya.
DAP mungkin tidak kehilangan banyak dari sudut matematik politik. Pemergian Ronnie tidak menyebabkan kerajaan tumbang atau jumlah kerusi berubah. Namun politik tidak selamanya diukur dengan kalkulator.
Kadang-kadang persoalan yang lebih penting ialah siapa yang pergi, berapa lama dia pernah bertahan dan mengapa akhirnya dia memilih pintu keluar.
Ronnie Liu melihat DAP ketika belum berkuasa dan ketika sudah menikmati kuasa. Selepas 41 tahun, beliau akhirnya memilih wadah lain sambil terus bercakap tentang demokrasi, institusi dan politik yang sepatutnya kembali berkhidmat kepada rakyat.
Maka persoalannya bukan lagi sekadar mengapa Ronnie Liu meninggalkan DAP.
Apa yang berubah dalam DAP sehingga seorang veteran yang mampu bertahan selama 41 tahun akhirnya memilih untuk pergi?
Tags
Politik

