Malaysia Hot

Apabila Tabung Haji Diserang, Di Mana Suara Penjaganya




Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan. Ia memegang simpanan, doa dan kepercayaan jutaan umat Islam yang mahu menunaikan rukun Islam kelima. Apabila namanya diseret ke gelanggang politik dengan tuduhan wang hilang dan disakau, setiap dakwaan wajib dijawab menggunakan bukti, bukan menjadi bahan kempen di pentas politik.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja memang menemukan kelemahan. Antaranya ialah tadbir urus yang lemah, keputusan pelaburan berisiko, pembayaran hibah yang melampaui kemampuan, penggunaan kaedah perakaunan yang dipersoalkan serta koordinasi yang tidak teratur antara pengurusan, Panel Pelaburan dan pihak berkaitan. Semua perkara itu mesti diakui dan diperbaiki.

Laporan sama tidak membuat dapatan bahawa mana mana individu telah menyalahgunakan kuasa.

Audit forensik dicadangkan bagi menentukan sama ada transaksi mencurigakan dan pelaburan bermasalah melibatkan pelanggaran undang undang atau salah laku. Perbezaan ini amat besar. Kelemahan tadbir urus bukan secara automatik bukti kecurian. Jurang aset dan liabiliti pula tidak semestinya bermaksud wang tunai telah lesap ke dalam akaun seseorang.

Ketika dakwaan RM12 bilion hilang dan istilah sakau diulang kepada khalayak dan PMX sendiri menjadikan ianya bahan kempen di Pilihanraya Negeri Sembilan yang lalu?

Apa yang menjadi bualan hangat di segenap ceruk bumi adalah mengapa suara mereka yang pernah berada di ‘bilik keputusan’ langsung tidak didengar.

Senarai keanggotaan Lembaga Pengarah Tabung Haji antara 2013 hingga 2018 memperlihatkan barisan yang bukan calang calang.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mempengerusikan lembaga itu. Tan Sri Mohd Zuki Ali hadir sebagai wakil Jabatan Perdana Menteri. Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mewakili Perbendaharaan. Datuk Seri Johan Abdullah pula berada dalam lembaga sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Turut menganggotainya ialah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin yang pernah mempengerusikan Jawatankuasa Penasihat Syariah Tabung Haji, Tan Sri Badruddin Amiruldin, Allahyarham Tan Sri Mohamad Aziz, Datuk Rosni Sohar, Tan Sri Syukry Mohd Salleh dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali adalah Peguam Negara ketika itu. Dalam tempoh berkenaan, lembaga itu turut pernah dianggotai Tan Sri Othman Mahmood, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Hashim Meon dan Dato Haji Ghazali Awang.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula bukan ahli lembaga. Beliau ialah menteri yang bertanggungjawab menyelia portfolio Tabung Haji ketika itu. Perbezaan jawatan tersebut perlu dihormati, namun tanggungjawab untuk menjelaskan dasar dan pengawasan tidak boleh lenyap begitu sahaja.

Mereka datang daripada bidang kewangan negara, undang undang, pentadbiran awam, pengurusan korporat, syariah dan politik. Mereka bukan pemerhati dari luar pagar. Mereka mempunyai akses kepada kertas lembaga, penyata kewangan, laporan audit, cadangan pelaburan, asas pengiraan hibah dan pandangan profesional yang tidak dimiliki orang awam.

Tan Sri Mohd Zuki dan Tan Sri Irwan wajar menjelaskan maklumat yang disalurkan kepada Jabatan Perdana Menteri serta Perbendaharaan. Tan Sri Mohamed Apandi boleh menerangkan sudut undang undang dan tanggungjawab lembaga. Profesor Abdul Shukor pula mampu menghuraikan pertimbangan syariah. Bekas ketua pegawai eksekutif mempunyai pengetahuan operasi paling langsung. Ahli lain yang masih hidup juga perlu menyatakan sama ada mereka bersetuju, membantah atau pernah memberi amaran di dalam isu Tabung Haji ini.

Adakah lembaga menerima gambaran kewangan yang lengkap. Siapakah yang mencabar pembayaran hibah tinggi. Adakah penggunaan nilai aset boleh direalisasikan pernah dipersoalkan. Apakah risiko pelaburan dibentangkan secara jujur. Wujudkah pandangan berbeza yang direkodkan dalam minit mesyuarat. Jika semua keputusan dibuat berdasarkan nasihat profesional, siapa yang menyediakan nasihat tersebut.

Jika benar RM12 bilion disakau, nyatakan transaksi, tarikh, penerima dan akaun yang terlibat. Jika angka itu merujuk kepada jurang penilaian, susut nilai aset atau liabiliti yang melebihi aset, jelaskan kepada rakyat dengan bahasa yang mudah. Membiarkan istilah kewangan ditukar menjadi tuduhan jenayah tanpa rantaian bukti hanya merosakkan sebuah institusi yang dibina selama puluhan tahun.

Diam bukan bukti bersalah. Sikap diam juga bukan perlindungan kepada reputasi kerana kekosongan penjelasan akan segera diisi oleh propaganda, andaian dan hukuman politik. Bekas ahli lembaga tidak perlu mempertahankan setiap keputusan lama, namun mereka mempunyai kewajipan moral untuk memisahkan kesilapan pengurusan daripada dakwaan mencuri.

Mereka harus tampil dengan kronologi, dokumen dan hujah yang boleh diuji. Jika terdapat keputusan yang salah, akui dan jelaskan bagaimana ia berlaku. Jika ada pihak melanggar undang undang, serahkan bukti kepada penguat kuasa. Jika tuduhan yang dilemparkan tidak benar, pertahankan Tabung Haji dengan fakta yang tegas.

Tabung Haji tidak boleh dijadikan perisai mana mana parti. Institusi ini juga tidak boleh dijadikan sasaran bagi membina kemarahan politik. Kebenaran mesti mengatasi kepentingan kerajaan, pembangkang dan individu yang pernah memegang jawatan.

Ketika kredibiliti Tabung Haji diserang, suara paling bernilai sepatutnya datang daripada mereka yang pernah menjaga pintunya. Jika mereka terus diam, rakyat berhak bertanya sama ada mereka sedang melindungi rahsia, mengelakkan tanggungjawab atau sekadar membiarkan sebuah amanah umat dihukum tanpa pembelaan.

Rakyat sedang cuba memahami, adakah Tabung Haji ini syarikat milik penuh Azeez Rahim seorang sahaja?

Alangkah baiknya sekiranya Ahli Lembaga yang lain tidak berdiam diri melihat TH diserang bertubi-tubi. Apakah mereka semua sedang diugut...?
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال