Ada sesuatu yang tidak kena apabila pakaian seragam sekolah, keperluan asas seorang murid mula dipersembahkan melalui kaedah bayaran ansuran seolah-olah ia satu bentuk kemajuan yang wajar diraikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyambut baik inisiatif pembelian pakaian seragam sekolah secara ansuran menerusi program NADI Mahir. Program itu mempunyai sisi positif kerana membuka ruang kepada alumni NADI Mahir Jahit menjana pendapatan melalui penghasilan uniform sekolah.
Membantu usahawan kecil memang baik. Membuka pasaran kepada tukang jahit tempatan juga wajar disokong.
Namun apa yang merisaukan adalah mengapa ibu bapa sampai memerlukan bayaran ansuran untuk membeli pakaian sekolah anak?
Uniform bukan telefon pintar. Bukan beg tangan berjenama. Bukan kasut mahal untuk menunjuk status.
Ia baju sekolah.
Apabila keperluan asas seperti ini perlu dibayar menggunakan pendapatan bulan berikutnya, keadaan itu sepatutnya menjadi 'lampu merah' tentang kemampuan rakyat, bukan sekadar cerita mengenai kemudahan pembayaran.
Jangan bangga kerana rakyat diberikan cara baharu untuk membayar.
Tanya mengapa rakyat semakin sukar membayar keperluan asas secara biasa.
Perlu berlaku adil. Bayaran ansuran tidak semestinya bermaksud pinjaman berbunga atau mempunyai caj kewangan tertentu. Tanpa mengetahui terma penuh skim tersebut, tidak wajar membuat dakwaan sedemikian.
Isu sebenar jauh lebih besar.
Kita sedang membiasakan satu pemikiran bahawa apabila wang tidak cukup hari ini, gunakan dahulu pendapatan masa hadapan.
Jika pendekatan itu digunakan untuk barangan mewah, ia mungkin sekadar pilihan pengguna. Apabila ia mula melibatkan pakaian sekolah, ia sudah menjadi persoalan kemampuan ekonomi sebuah keluarga.
Kerajaan sendiri menyediakan Bantuan Awal Persekolahan RM150 bagi membantu ibu bapa menghadapi kos pembukaan sekolah. Jika selepas bantuan itu masih ada keperluan menawarkan uniform secara ansuran, maka kerajaan harus sedar adakah RM150 masih memadai dengan realiti kos persekolahan hari ini?
Ibu bapa bukan membeli sehelai baju sahaja. Mereka perlu menyediakan seluar atau kain, kasut, stoking, beg, alat tulis, buku tambahan, tambang dan wang makan.
Bagi keluarga yang mempunyai tiga atau empat anak bersekolah serentak, jumlahnya bukan kecil.
Di sinilah kelemahan menjadikan ansuran sebagai jawapan kepada tekanan kos sara hidup.
Ansuran tidak menjadikan sesuatu barang lebih murah. Ia hanya memindahkan tarikh pembayaran.
Kos hari ini dibawa ke bulan hadapan. Bulan hadapan tetap datang bersama sewa rumah, bil elektrik, makanan, petrol, tambang dan keperluan harian lain. Masalah tidak hilang ia hanya berpindah.
Lebih membimbangkan apabila budaya ini dibiasakan dalam perkara yang berkait dengan pendidikan.
Anak-anak belajar tentang kewangan bukan hanya melalui buku teks. Mereka melihat bagaimana orang dewasa mengurus kehidupan.
Jika setiap kekurangan wang diselesaikan dengan pendekatan “ambil dahulu, bayar kemudian”, lama-kelamaan terbentuk satu kefahaman bahawa komitmen pembayaran ialah jalan biasa untuk mendapatkan apa sahaja.
Ingat ungkapan lama ini, “biar papa asal bergaya”. Nampaknya mendapat makna baharu.
Dahulu ia menyindir orang yang sanggup berhutang demi barangan mewah.
Hari ini yang dibayar secara ansuran bukan jam mahal.
Bukan telefon pintar.
Bukan pakaian berjenama tetapi uniform sekolah anak.
Kalau ramai ibu bapa memilih skim seperti ini kerana tidak mempunyai wang tunai mencukupi, kerajaan jangan sekadar melihat angka penyertaan sebagai kejayaan program. Lihat ia sebagai data sosial.
Berapa ramai memilih bayaran ansuran kerana benar-benar kesempitan wang?
Berapa kos sebenar menyediakan seorang anak untuk memulakan sesi persekolahan?
Berapa besar tekanannya kepada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai beberapa orang anak?
Jawapan kepada soalan-soalan itu jauh lebih berguna daripada sekadar memperkenalkan kaedah pembayaran baharu.
Usahawan NADI Mahir masih boleh diperkasakan. Kerajaan boleh membantu melalui pembelian pukal, subsidi bersasar, baucar uniform kepada keluarga miskin atau kerjasama korporat untuk menurunkan harga.
Kerajaan jangan hanya memastikan rakyat boleh membeli.
Kerajaan mesti memastikan rakyat mampu membeli.
Perbezaannya besar.
Kemampuan mendapatkan sesuatu melalui ansuran tidak semestinya menunjukkan ekonomi keluarga semakin baik. Ada waktunya ia membawa maksud yang bertentangan, wang tunai mereka sudah tidak mencukupi untuk mendapatkan barang yang diperlukan pada waktu ia diperlukan.
Pendidikan juga soal membentuk nilai.
Ajarlah anak-anak hidup mengikut kemampuan. Ajarlah mereka membezakan keperluan dengan kehendak. Ajarlah bahawa komitmen kewangan bukan jawapan pertama setiap kali wang tidak cukup.
Kerajaan yang berjaya bukan kerajaan yang boleh berkata:
“Jangan risau, uniform sekolah pun boleh bayar ansuran.”
Kerajaan yang berjaya ialah apabila ibu bapa mampu membeli pakaian sekolah anak tanpa mengorbankan belanja dapur dan tanpa membawa satu lagi komitmen ke bulan berikutnya.
Pendidikan sepatutnya menjadi jalan keluar daripada kesempitan hidup. Jangan sampai langkah pertama anak ke sekolah pun sudah bermula dengan beban kewangan keluarga.

