Malaysia Hot

Jangan Kelirukan Skandal KWAP Ditipu Dengan Pembelian Aset Tabung Haji.




Apabila sesuatu isu kewangan melibatkan institusi besar negara, perkara paling mudah dilakukan ialah mencampurkan semua angka kerugian dalam satu bakul. Nampak nombor merah, terus disebut “duit hilang”. Nampak nilai aset jatuh, terus disamakan dengan pelaburan yang menjadi mangsa penipuan. Sedap dijadikan bahan politik, namun dari sudut kewangan, perbandingan seperti itu boleh menjadi sangat mengelirukan.

Kes pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP dalam eFishery mempunyai persoalan yang jauh lebih serius daripada sekadar harga pelaburan turun kerana pasaran. Kementerian Kewangan memaklumkan KWAP menjadi mangsa penipuan terancang yang dikaitkan dengan manipulasi penyata kewangan syarikat berkenaan. Nilai pelaburan yang terjejas dilaporkan menghampiri RM200 juta dan SPRM turut membuka siasatan terhadap perkara itu.

Di sinilah garis pemisah yang mesti difahami.

Jika sebuah saham atau hartanah dibeli pada RM100 juta dan nilainya kemudian turun kepada RM80 juta akibat perubahan pasaran, persoalannya ialah prestasi pelaburan, penilaian aset dan strategi pengurusan portfolio. Kerugian mungkin wujud, malah boleh menjadi kerugian sebenar apabila aset dijual pada harga lebih rendah. Namun kejatuhan nilai aset dengan sendirinya bukan bukti bahawa pelabur telah ditipu.

Sebaliknya, apabila keputusan pelaburan dibuat berasaskan maklumat kewangan yang didakwa dimanipulasi, ia membawa persoalan lain sama sekali. Bagaimana proses due diligence dilakukan? Siapa menilai risiko? Apakah dokumen yang digunakan? Adakah terlalu banyak kebergantungan kepada juruaudit atau penasihat luar? Perdana Menteri sendiri ketika menjelaskan isu eFishery menyifatkan episod itu sebagai pengajaran bahawa keputusan pelaburan tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada firma audit. Cukupkah hanya dengan sebut “satu pengajaran..”, “penipuan terancang..”. Kes 1MDB lain pula bahasanya.

Itulah isu KWAP. Bukan semata-mata harga jatuh, tetapi bagaimana wang pelaburan boleh terdedah kepada sebuah penipuan yang menurut kerajaan telah dirancang dan menggunakan penyata kewangan yang dimanipulasi.

Tabung Haji pula perlu dinilai berdasarkan fakta kesnya sendiri.

Dalam pelaburan, harga aset tidak bergerak dalam satu arah. Saham boleh jatuh sebelum kembali meningkat. Hartanah boleh mengalami penyusutan nilai sebelum pasaran pulih. Pelaburan strategik pula kadangkala mengambil masa bertahun-tahun untuk menghasilkan pulangan. Menilai sesuatu pembelian hanya berdasarkan satu titik harga selepas ia dibeli adalah analisis yang terlalu cetek.

Lebih penting, isu penstrukturan Tabung Haji pada 2018 mempunyai mekanisme yang tersendiri. Kerajaan menjelaskan bahawa aset bermasalah dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd dan perjanjian berkenaan turut memperuntukkan hak kepada Tabung Haji untuk membeli semula aset tertentu. Rekod Parlimen pada 2026 turut menyebut Right of First Refusal, manakala beberapa aset telah diperoleh semula tertakluk kepada pertimbangan pelaburan dan nilai pasaran.

Maka jangan lakukan kesilapan intelektual dengan mengatakan semua kerugian adalah sama.

Aset yang turun harga boleh menjadi pelaburan yang kurang berjaya. Ia boleh menimbulkan persoalan mengenai keputusan pengurusan. Ia juga boleh membawa kepada kerugian apabila dijual. Namun ia tidak secara automatik menjadikannya penipuan.

Dalam kes eFishery, unsur yang menjadikan isu itu berat ialah dakwaan bahawa KWAP diperdaya melalui manipulasi maklumat kewangan. Sebab itulah siasatan perlu pergi lebih jauh daripada sekadar bertanya berapa banyak wang yang rugi. Rakyat berhak mengetahui bagaimana sistem pertahanan sebuah institusi yang mengurus dana persaraan sektor awam boleh ditembusi. KWAP sendiri ialah institusi penting dalam pengurusan dana persaraan penjawat awam, maka standard tadbir urusnya sewajarnya sangat tinggi.

Pada masa sama, fakta bahawa KWAP mempunyai portfolio besar atau mencatat keuntungan daripada pelaburan lain tidak menghapuskan keperluan menjawab apa yang berlaku dalam eFishery. Satu pelaburan bermasalah mungkin tidak menggugat keseluruhan kedudukan dana, namun setiap kelemahan sistem mesti diperbetulkan supaya kesilapan sama tidak berulang.

Begitu juga Tabung Haji. Jika terdapat keputusan pelaburan yang salah, siasat dan bentangkan faktanya. Jika terdapat aset dibeli terlalu mahal, buktikan. Jika berlaku salah laku, ambil tindakan.

Yang tidak wajar ialah menggunakan susut nilai aset Tabung Haji sebagai alat untuk mengecilkan persoalan eFishery.

Jangan samakan dua perkara hanya kerana kedua-duanya mempunyai angka kerugian.

Satu mungkin berkaitan turun naik dan pengurusan nilai aset. Satu lagi sedang dipersoalkan kerana institusi itu dilaporkan menjadi mangsa penipuan terancang.

Bezakan fakta daripada propaganda.

KWAP dan Tabung Haji bukan cerita yang sama. Jangan kelirukan rakyat.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال