Pertanyaan Datuk Seri Amirudin Shari mengenai berapa banyak wang pendeposit Tabung Haji (TH) yang kononnya digunakan untuk membayar hutang 1MDB adalah tuduhan yang terlalu berat untuk dibiarkan berdiri atas andaian. Pelaburan TH dalam Putrajaya Perdana memang mempunyai kelemahan dan wajar disiasat, namun kelemahan pelaburan tidak secara automatik membuktikan wang umat Islam digunakan untuk menutup hutang 1MDB.
Dalam perbahasan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat, Datuk Seri Amirudin Shari mengemukakan satu dakwaan yang cukup serius dengan cuba membina naratif songsang, soalan beliau, berapa banyak wang simpanan umat Islam dalam Tabung Haji telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB dan menutup salah laku syarikat itu sejak 2014?
Soalan seperti ini mudah mencetuskan kemarahan pendeposit, orang Melayu dan umat Islam di negeri ini. Masalahnya, kemarahan bukan bukti.
Apabila tuduhan melibatkan wang jutaan pendeposit, standard pembuktiannya tidak boleh sekadar bergantung pada hubungan korporat, pertindihan nama individu atau susunan peristiwa yang kelihatan mencurigakan.
Untuk memahami isu ini dengan tepat, kronologinya perlu diperbetulkan terlebih dahulu.
Amirudin menghubungkan pelaburan Tabung Haji dalam Putrajaya Perdana dengan SRC International dan seterusnya membawa pembaca kepada kesimpulan seolah-olah wang pendeposit akhirnya digunakan untuk menyelesaikan masalah 1MDB.
Di sinilah garis antara fakta dengan andaian perlu diperjelaskan.
Jika benar wang pendeposit Tabung Haji pernah digunakan untuk membayar hutang 1MDB, buktinya sepatutnya boleh dinyatakan secara terus iaitu berapa jumlahnya, keluar daripada akaun mana, masuk ke akaun siapa, pada tarikh bila dan atas arahan siapa?
Itulah rantaian bukti yang perlu ditunjukkan.
Tanpa jejak transaksi tersebut, dakwaan bahawa wang pendeposit digunakan untuk “membayar hutang 1MDB” masih merupakan kesimpulan yang dibina daripada kronologi, bukan bukti kewangan yang membuktikan dakwaan itu sendiri.
Kes SRC International telah melalui proses kehakiman sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Berdasarkan hujah yang dikemukakan mengenai perkara ini, tiada dapatan mahkamah yang memutuskan bahawa pelaburan Tabung Haji dalam Putrajaya Perdana merupakan mekanisme untuk membayar hutang 1MDB atau menutup salah laku syarikat tersebut.
Ini penting kerana keterangan yang muncul dalam sesuatu perbicaraan tidak semestinya sama dengan dapatan mahkamah mengenai suatu dakwaan yang berasingan.
Mahkamah menentukan kes berdasarkan pertuduhan, elemen kesalahan dan bukti yang dibentangkan. Jika mahu membuktikan wujud satu rancangan menggunakan wang Tabung Haji untuk menyelamatkan 1MDB, maka keseluruhan rantaian tersebut juga mesti dibuktikan.
Pelaburan Tabung Haji sebanyak 30 peratus dalam Putrajaya Perdana pada penghujung 2014 sememangnya wajar diperiksa. Jika keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian yang lemah, terdapat konflik kepentingan, berlaku pelanggaran prosedur atau wujud campur tangan pihak tertentu, semuanya wajib disiasat.
Tiada siapa sepatutnya mempertahankan salah urus.
RCI sendiri meneliti pelbagai kelemahan berkaitan tadbir urus, amalan perakaunan, rosot nilai aset, pembayaran hibah, struktur pengawasan dan beberapa keputusan pelaburan yang menimbulkan persoalan.
Namun terdapat perbezaan yang sangat besar antara mengatakan Tabung Haji mempunyai kelemahan tadbir urus dan pelaburan bermasalah dengan mendakwa wang pendeposit digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Yang pertama boleh dinilai melalui laporan, rekod pengurusan dan prestasi pelaburan. Yang kedua memerlukan bukti aliran wang.
Jika benar berlaku “desakan politik” supaya dana Tabung Haji digunakan di luar kriteria pelaburan, dedahkan dokumennya. Siapa memberi arahan? Kepada siapa arahan itu disampaikan? Apakah keputusan yang dibuat selepas arahan tersebut? Ke mana wang itu akhirnya pergi?
Sebuah tuduhan tidak menjadi fakta hanya kerana beberapa nama berada dalam rangkaian korporat yang sama.
Begitu juga kerugian pelaburan.
Pelaburan yang rugi boleh menunjukkan keputusan yang buruk, penilaian yang tersasar atau kelemahan pengurusan. Kerugian itu tidak secara automatik membuktikan bahawa sebuah institusi telah digunakan dalam konspirasi untuk menyelamatkan syarikat lain.
Jika terdapat unsur pecah amanah, rasuah, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan, tindakan mesti diambil terhadap individu yang bertanggungjawab berdasarkan bukti.
Prinsip itu sepatutnya terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kerajaan mana yang memerintah.
RCI Tabung Haji juga tidak seharusnya ditukar menjadi pentas untuk menghukum secara kolektif sebuah parti atau kerajaan terdahulu. Fungsi RCI ialah mencari kebenaran, mengenal pasti kelemahan sistem, menentukan tanggungjawab dan mencadangkan pembaikan supaya kesilapan tidak berulang.
Pendeposit tidak memerlukan drama politik. Mereka memerlukan jawapan.
Jika benar satu sen wang mereka digunakan untuk membayar hutang 1MDB, tunjukkan transaksi itu kepada rakyat.
Jumlah berapa? Akaun mana? Penerima siapa? Tarikh bila? Arahan siapa?
Akhirnya mereka yang berkokok di dalam parlimen tidak berani membuat tuduhan di luar dewan dan anda tahu kenapa.

